Dunia ini pernah dicemarkan oleh sejarah hitam dalam tamadun manusia disebabkan ketiadaan aqidah dalam kehidupan. Masyarakat ketika itu hilang sifat kemanusiaan sehingga sanggup membunuh dengan menanam anak-anak terutama anak-anak perempuan hidup-hidup kononnya mempertahankan maruah diri, keluarga dan kabilah. Amalan jahiliyah tersebut kini berulang lagi malah lebih dahsyat di mana sesetengah bayi dibuang di merata-rata tempat kerana malu kepada masyarakat. Tempat-tempat pembuangan ialah di belakang rumah, di tepi jalan, di tepi hospital, di masjid, di tepi sungai, dikedai, ditempat pembuangan sampah, dihentian bas, ditandas dan lain-lain lagi.
Menurut statistik daripada pihak berkuasa di dapati jenayah membuang bayi terus meningkat dari tahun ketahun. Umpamanya pada tahun 2007 sebanyak 76 kes berbanding 62 kes pada 2006 di seluruh negara. Sepanjang tempoh 2004 sehingga 2007 sebanyak 252 kes telah direkodkan dan seramai 61 bayi mengalami kematian.
Firman Allah SWT di dalam surah Al-Isra’ ayat 32:
Maksudnya: " Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat." .
Mengikut kajian terdapat beberapa faktor menyebabkan berlakunya jenayah ini. Faktor terbesar ialah keterlanjuran dalam menjalin hubungan percintaan, pergaulan dan amalan seks bebas sebelum adanya ikatan perkahwinan yang sah mengikut hukum syarak, institusi keluarga yang bermasalah tiada persefahaman, bergaduh atau bercerai. Oleh itu setiap ibubapa perlu sedar bahawa masa hadapan anak-anak terletak kepada suasana tarbiyah dalam rumahtangga yang mereka bina. Jika suasana keimanan, keharmonian dan kasih sayang, nescaya Allah SWT akan mengurniakan kebahagiaan di dunia dan dia khirat.
Firman Allah SWT di dalam surah At-Thuur ayat 21:
Maksudnya: " Dan orang yang beriman yang diturut oleh zuriat keturunannya dengan keadaan beriman, kami hubungkan dengan mereka zuriat mereka dan kami tidak mengurangi sedikit pun dari pahala amal-amal mereka tiap-tiap seorang manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya " .
Faktor dalaman diri remaja juga merupakan punca kepada gejala ini. Kurang fahaman agama dan akhlak yang luhur menyebabkan mereka dikuasai oleh nafsu jahat sehingga berlakunya zina dan menyebabkan lahirnya anak luar nikah yang akhirnya dibuang kerana takut dan malu kepada keluarga serta masyarakat.
Penayangan filem berunsur seks oleh media elektronik, ( VCD ) lucah serta gambar pornografi di dalam internet juga menjadi punca yang turut merangsang para remaja terjebak ke lembah perzinaan yang membawa kepada lahirnya anak luar nikah di samping berleluasanya program-program hiburan yang melampau dalam masyarakat.
Perbuatan membuang bayi dimerata tempat dan terdedah kepada berbagai risiko termasuk kematian; di samping ada di antaranya menjadi mangsa binatang buas adalah satu jenayah yang amat zalim dan keji serta lebih hina tarafnya daripada haiwan. Malah haiwan lebih baik kerana mengasihani dan memelihara anak dan sanggup mati demi keselamatan anak-anak. Inilah implikasinya apabila rohani para remaja tidak di isi dengan ajaran agama. Renungilah amaran Allah SWT di dalam surah Al-A'raf ayat 179:
Maksudnya: " Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi) neraka jahanam kebanyakkan dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi ) tidak mahu memahami dengannya dan mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya dan mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya; mereka itu seperti binatang ternak bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang yang lalai " .
Antara langkah-langkah memerangi kemelut ini:
Pertama - Institusi keluarga perlulah diperkukuhkan dengan berlandaskan konsep rumahku syurgaku;
Kedua - Program-program dakwah perlulah dipertingkatkan dan digerakkan secara bersepadu;
Ketiga - Pihak yang bertanggungjawab perlulah mengawal pengedaran bahan-bahan lucah daripada tatapan anggota masyarakat terutama remaja;
Keempat - Program-program hiburan melampau yang merosakkan akhlak perlulah dikawal;
Kelima - Ibu bapa perlulah mengawal pergerakan anak-anak daripada terlibat dengan pergaulan bebas;
Keenam - Hukuman berat kepada mereka yang terlibat dalam melakukan jenayah pembuangan bayi perlulah diadakan;
Ketujuh - Bagi remaja yang terlanjur diinginkan janganlah membunuh bayi yang tidak berdosa. Berilah mereka peluang untuk hidup dan bersedialah untuk bertanggungjawab atas kesilapan diri bersama dengan pasangan masing-masing.
Friday, August 22, 2008
Wednesday, August 20, 2008
Keutamaan Memelihara Persaudaraan
Islam memberikan perhatian yang amat penting terhadap persoalan persaudaraan dengan menyuruh umatnya agar sentiasa menjaga dan memelihara ukhuwwah kerana ukhuwwah merupakan asas kekuatan bagi umat Islam. Di samping ia juga menambahkan keimanan dan ketakwaan dalam diri setiap muslim. Sebagai umat Islam kita hendaklah sentiasa membajai hati kita dengan sifat-sifat berkasih sayang terhadap sesama manusia khususnya umat Islam dan semua mahkluk ciptaan Allah s.w.t. dengan memiliki sifat seperti berkasih sayang dan rasa saling percaya mempercayai pada sesama manusia, ianya merupakan landasan kearah mewujudkan masyarakat yang harmoni, bersatu padu dan saling bekerjasama diantara satu sama lain.
Persaudaraan hasil daripada ikatan aqidah yang satu serta rela berkorban melakukan apa sahaja kebaikan untuk orang lain atau saudara seagama merupakan setinggi-tinggi darjat persaudaraan. Dan ini telah dibuktikan oleh Baginda Rasullullah s.a.w. dan para sahabat melalui persaudaraan diantara kaum Muhajirin dan Ansar di Madinah yang merupakan penduduk peri bumi di awal permulaan hijrah Baginda Rasullullah s.a.w. sehingga dapat melahirkan umat yang sanggup berkorban demi untuk saudara seagama dan memberi kekuatan kepada umat Islam.
Kisah mereka telah dirakamkan oleh Allah s.w.t. dalam surah al-Hasyr ayat 9 :
Bermaksud : " dan orang-orang Ansar yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum kedatangan mereka (orang-orang Muhajirin) mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka. dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berkehendak kepada apa yang telah diberikan kepada orang-orang yang berhijrah itu, dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan sangat-sangat berhajat. dan sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhil maka merekalah orang-orang yang berjaya ".
Berdasarkan ayat tersebut, jelaslah bahawa melalui persaudaraan sahajalah, dapat melahirkan suasana saling bekerjasama dan sanggup berkorban, melupakan soal kepentingan diri sendiri demi membina kemajuan dan melahirkan kesatuan ummah yang cemerlang terutama dalam melaksanakan tanggungjawab terhadap sesama manusia ( حَبْلٌ مِن َالناس) dan juga tanggungjawab terhadap Allah ( حَبْلٌُ مِنَ اللهِ ).
Didalam Islam orang-orang yang hidupnya sentiasa menjaga persaudaraan, mereka akan diberikan beberapa keutamaan oleh Allah s.w.t. diantaranya :
PERTAMA : Pada Hari Kiamat, Mereka Akan Berada Di Bawah Naungan Arasy Allah.
Sabda Rasullullah s.a.w. bermaksud : " Sesungguhnya Allah s.w.t. pada hari Kiamat berfirman : (dimanakah orang yang kasih mengasihi kerana keagongan-Ku? Pada hari ini aku akan menaungi mereka didalam naungan-Ku, pada hari yang tiada naungan melainkan naungan-Ku) " . ( Hadis riwayat Muslim )
KEDUA : Mereka Merasakan Manisnya Iman .
Sabda Rasullullah s.a.w. bermaksud : " sesiapa yang memiliki tiga perkara nescaya ia akan dapat merasakan kemanisan iman, iaitu bahawa ia mengasihi Allah dan Rasul-Nya lebih daripada yang lain dan ia mengasihi seseorang hanya semata-mata kerana Allah serta ia benci untuk kembali kepada kekufuran selepas ia diselamatkan oleh Allah daripadanya sebagaimana ia benci dicampakkan ke dalam api neraka . "
( Hadis riwayat bukhari dan Muslim )
KETIGA : Dosa-Dosa Mereka Diampuni Oleh Allah .
Sabda Rasullullah s.a.w. bermaksud : " Daripada al-Bara' r.a. katanya : telah bersabda Rasulullah s.a.w. : tiada diantara dua orang Islam yang bertemu maka lalu berjabat tangan kedua-duanya melainkan diampunkan bagi kedua-duanya sebelum mereka berpisah ".
( riwayat Abu Daud dan Tarmizi )
Malangnya umat Islam pada hari ini sedang berada dalam satu keadaan yang amat mengelirukan iaitu diantara pegangan ajaran agama dan amalan seharian. Islam menyeru umatnya bersatu padu dan berkasih sayang tatapi realitinya terdapat sebahagian umat Islam pada hari ini berpecah, bermusuh-musuhan, berpuak-puak dan lebih menyedihkan sanggup membunuh sesama sendiri. Semakin banyak seruan yang menyeru kepada kesatuan, maka semakin ketara keretakan dan perpecahan di kalangan umat Islam, dimana silapnya dan bila keadaan ini akan berakhir ?.
Keadaan yang mengelirukan ini ditambah lagi dengan konflik sesama sendiri dengan fitnah menfitnah, tuduh menuduh, hasut menghasut dan benci membenci antara satu sama lain. Keadaan ini sama sekali bertentangan dengan ajaran Islam yang menganjurkan umatnya berkasih sayang, hormat menghormati, bersatu padu dan saling bantu membantu antara satu sama lain. Firman Allah s.w.t. didalam surah Ali – Imran 103 ِ :
Maksudnya : " dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali agama Allah (Agama Islam) dan janganlah kamu bercerai berai, dan kenangkanlah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa Jahiliyah dahulu,) lalu Allah menyatukan diantara hati kamu (sehingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam,) maka jadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa Jahiliyah) lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga ) demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangannya supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya ".
Marilah sama-sama kita membina kembali hubungan persaudaraan yang semakin longgar serta memeliharanya dengan bersungguh-sungguh. sebagaimana contoh yang telah ditunjukkan oleh para sahabat sehingga terbentuk satu umat yang sangat kuat kesatuanya dan mampu menghadapi pelbagai cabaran dari musuh-musuh Islam. Maka dengan hal yang sedemikian, dapatlah kita umat Islam membina peradaban Islam yang unggul dan cemerlang serta mampu menjadi penyelesai kepada pelbagai persoalan semasa yang berlaku.
Diantara perkara-perkara yang perlu diambil perhatian untuk memantapkan persaudaraan ialah:
1 . Memberi Salam Apabila Bertemu Antara Satu Sama Lain.
Sabda Rasullullah s.a.w. :
Bermaksud : " Daripada Abu Hurairah r.a. katanya Sabda Rasullullah s.a.w. : " demi diriku dalam kekuasaan-Nya, kamu tidak akan dapat masuk syurga sehingga kamu beriman dan kamu tidak dikatakan beriman dengan sempurna sehinggalah kamu berkasih sayang, sukakah kamu jika aku tunjukkan sesuatu apabila kamu melakukannya nescaya kamu akan berkasih sayang ? sebarkanlah ucapan salam di kalangan kami " .
( Hadis riwayat Muslim )
2 . Sentiasa berhubung untuk bertanya khabar samada dengan bertemu secara langsung atau dengan apa sahaja cara perhubungan yang ada pada zaman yang serba canggih dan moden pada hari ini.
3 . Bantu membantu antara satu sama lain.
4 . Melazimkan ziarah menziarahi sebagai satu amalan hidup .
Maksudnya : " Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah diantara dua saudara kamu dan Bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.
( surah al-Hujurat : 10 )
Manusia: Mata dan MataNYA
Semua hamba Allah berkesempatan melihat keindahan dan kecantikan dunia ini kerana telah ditakdirkan Allah mereka buta penglihatan atau buta mata, mereka hanya tahu sifat sesuatu melalui orang yang celik penglihatan. Oleh itu bagi mereka yang dapat melihat hendaklah bersyukur kepada Allah S.W.T di atas nikmat penglihatan yang diberikan semoga dengan kesyukuran itu kita akan menggunakan nikmat mata yang dikurniakan oleh Allah S.W.T untuk melihat perkara-perkara yang baik dan memberi faedah kepada kita, seterusnya kita tidak dikatakan bersyukur kepada Allah sekiranya kita menggunakan mata kita untuk melihat perkara-perkara yang dilarang melihatnya.
Secara umum penglihatan manusia bolehlah dikategorikan kepada dua iaitu melihat dengan mata dan juga melihat dengan hati dan sering juga disebut orang melihat melihat dengan matahati. Berdasarkan pembahagian ini maka manusia yang terlibat dengan penglihatan dibahagikan kepada empat golongan:-
Pertama: Manusia yang celik mata dan celik hati. Mereka ini ialah orang yang dapat melihat dunia ini dan segala keindahan tetapi membataskan penglihatan mereka kepada perkara-perkara yang halal dan harus sahaja. Mereka tidak melihat perkara-perkara yang haram kerana hati mereka tidak membenarkan mereka berbuat demikian. Golongan yang celik mata dan celik hati ini adalah orang-orang yang sentiasa ingatkan kepada Allah walaupun dalam apa keadaannya sekalipun di samping akur dan tunduk kepada ketentuan perancangan Allah. Keadaan mereka ini digambarkan dalam firman Allah di dalam surah Ali Imran ayat 190-191 yang bermaksud:
"Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang, adalah tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal, iaitu orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): Wahai Tuhan kami! Tidakkah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau Maka peliharalah kami dari azab neraka."
Golongan kedua: Manusia yang buta tetapi celik hati. Manusia seperti ini tidak dapat melihat dunia ini dan segala keindahannya tetapi mereka dapat melihat kebenaran kerana hati mereka celik. Golongan seperti ini juga adalah orang-orang yang selamat kerana mereka langsung tidak melihat kemungkaran yang boleh menyebabkan bertambahnya dosa dan juga tidak terdorong untuk membuat maksiat hati mereka celik dan sentiasa mengajak untuk berbuat kerja-kerja baik yang diredhai oleh Allah. Sebab itulah, ramai dari kalangan orang-orang buta yang menjadi hafaz al-Quran kerana kecelikkan hati mereka membantu dan memudahkan mereka menghafaz al-Quran.
Golongan ketiga: Manusia yang celik mata dan buta hati. Mereka itu adalah orang yang dapat melihat dunia ini dan segala keindahannya tetapi melihat dunia ini dan perkara-perkara yang berkaitandengannya dengan pandangan dan penglihatan yang negatif ertinya mereka menggunakan nikmat mata untuk melihat perkara-perkara yang menghibur dan dapat memuaskan nafsu semata-mata. Mereka tidak menggunakan mata yang celik ituuntuk melihat perkara yang boleh mendorongkan mereka untuk mendekatkan diri kepada Allah kerana hati mereka telah buta dan mati. Golongan seperti ini cukup banyak di dunia ini dan mereka terdiri daripada orang-orang kafir dan Islam sendiri yang lemah iman dan tidak mempedulikan aturan dan ajaran Islam. Oleh itu menjadi tanggungjawab kita semua dari semua peringkat untuk berdakwah dan mengambil apa juga tindakan bagi menyedarkan masyarakat agar jangan menjadi orang yang celik mata dan buta hati jika sekiranya jumlah mereka ramai dan mengatasi pula jumlah orang-orang yang celik hati maka lagi banyaklah berlaku kezaliman di muka bumi ini dan kezaliman adalah perkara yang menjadi kebinasaan bagi orang yang buta hati.
Oleh itu marilah kita merenung dan menginsafi diri melalui firman Allah di dalam surah al-Haj ayat 45 dan 46 yang bermaksud:
"Maka bukan sedikit negeri-negeri yang Kami binasakan dengan sebab kezaliman penduduknya, lalu runtuh ranaplah bangunan-bangunannya dan bukan sedikit pula telaga yang telah terbiar dan istana yang terseragam (telah kosong ditinggalkan). Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya dengan melihat kesan-kesan yang tersebut mereka menjadi orang-orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (tetapi kalaulah mereka mengembarapun tidak juga berguna) kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada."
Golongan keempat: Manusia yang buta mata dan hati. Mereka ini adalah orang-orang yang paling malang kerana sudahlah mereka tidak dapat melihat dunia ini tetapi mereka juga tidak dapat melihat kebenaran melalui pancaindera hidayah Allah ke dalam hati.
Daripada empat golongan manusia yang disebutkan tadi hanya dua golongan sahaja yang bertuah dan istimewa di sisi Allah, golongan pertama ialah yang celik mata dan celik hati dan golongan kedua pula ialah yang buta tetapi celik hati. Oleh itu kita sebagai orang yang dapat melihat dunia marilah kita jadikan diri kita daripada golongan pertama dan sekiranya kita tidak dapat melihat dunia marilah kita masukkan diri kita terlibat dengan golongan kedua dan janganlah sama sekali kita terlibat dengan golongan ketiga dan keempat kerana golongan tersebut orang yang rugi hidupnya di dunia dan di akhirat.
Kita dapat mencelikkan hati kita dengan banyak belajar dan menginsafi diri bahawa diri kita sebenarnya dicipta dan dimiliki sepenuhnya oleh Allah S.W.T. Jika kita faham hakikat ini kita tidak akan sombong dan takbur lagi. Kita tidak akan melanggar larangan Allah dan sebaliknya kita hidup dalam keadaan penuh rendah diri dan sentiasa mematuhi perintah Allah, maka jadilah hati kita yang celik dan boleh melihat kebenaran dan jadilah hati kita hati yang lembut yang dalam menerima kebaikan.
"Orang yang diberi hidayah ialah orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah! Dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia." (Surah ar-Ra'd: 28)
Subscribe to:
Comments (Atom)
