Friday, November 14, 2008

Taraf Keiklasan

ADAKAH AKU IKHLAS..? Kita semua maklum bahawa keikhlasan itu menjadi pra-syarat untuk apa-apa amalan kita di terima oleh Allah swt. Kerana kita inginkan amalan kitalah yang bakal menjelma sebagai makhluk yang indah bila kita di dalam alam barzakh nanti, kita berharap agar amalan kitalah yang dapat membela kita pada hari pembalasan kelak.

Sudah tentu, niat pada permulaan kita membuat sesuatu, hinggalah ke akhirnya perlulah hanya kerana Allah semata-mata. Tidak kira amalan itu menyentuh perkara peribadi mahupun dalam kehidupan berdakwah. Namun, ibarat kita hendak mengenal sama ada kita sudah terkena penyakit 'chicken pox' dan sebagainya, ada tanda-tanda yang dapat menolong kita memastikan adakah benar kita ini ikhlas.

Antaranya ada sepuluh pembahagian iaitu
1. Kita takutkan sanjungan dan pujian manusia.
2. Kita tidak berasa hati apabila usaha dikritik oleh manusia.
3. Kita tidak berasa bangga bila dipuji.
4. Kita sentiasa menganggap diri cuai dalam ibadah akibat sikap taajub akan diri sendiri.
5. Kelima, Tidak malas, lembab dan ketinggalan dalam kesusahan.
6. Keenam, Tidak jemu dalam berusaha mengajak orang kepada Islam.
7. Ketujuh, Tidak menjauhkan diri dari jemaah walau di caci manusia.
8. Kelapan, Di dalam organisasi atau jemaah, tidak teringin menjadi ketua tetapi tetap bekerja dan menyumbang.
9. Kesembilan, Menjadi pemimpin atau pengikut, mana satu tidak menjadi hal.
10. Kesepuluh, Tidak marah malah gembira, bila muncul seseorang yang baru menjadi ketua namun bukan bermaksud tanggungjawabnya sendiri berkurang, kerana amanah bukan dari manusia tetapi dari Allah .

Begitulah antara perkara-perkara yang perlu kita perhatikan. Ini hanyalah panduan sahaja sebagai langkah berjaga-jaga bagi memastikan amalan diri kita sendiri bersih dari sifat ria', taajub, takabbur yang berkaitan dengannya.
Pekerjaan yang zahirnya baik, tetapi jika di selimuti oleh segala sifat yang batil tersebut, maka sia-sialah di sisi Allah swt. Hatta mereka yang berperang di bahagian hadapan dan mati di medan peperangan. Walau bagaimanapun, atas kelemahan manusia, tidak layak sebenarnya untuk menilai atau menghukum orang lain ikhlas ataupun tidak. Dalam kata-kata ulamak, ada yang mengatakan untuk membayangkan ikhlasnya seseorang itu seperti seekor semut yang hitam yang berjalan di atas batu yang hitam pada waktu malam yang pekat legam . Betapa besarnya hati manusia itu, apabila merasakan hatinya itu ikhlas terhadap Allah ta'ala.

Perlu diingatkan juga, dalam Petikan hadis nabi Muhamad SAW yang maksudnya : “ Tiga golongan yang tidak diterima Allah ta'ala untuk masuk ke syurga, kemudian ditanya kepada nabi apakah golongan itu, maka nabi menjawab
1. Orang-orang kaya menginfaqkan dengan mensedekahkan sebahagian hartanya di jalan Allah, tetapi tidak ikhlas.
2. Orang-orang yang berjihad di jalan Allah, mahupun perang atau sebagainya.
3. Orang-orang alim ulamak yang menyampaikan ilmu itu tetapi tidak ikhlas kerana Allah “.

Thursday, November 13, 2008

CERMIN DIRI

Diantara perkara-perkara yang boleh dijadikan panduan dalam kehidupan harian:

1. Senyum itu tanda kemesraan, diberi kepada manusia dianggap sedekah. Ketawa itu lambang kelalaian. Selalu dilakukan hati akan mati. Dibuat di hadapan manusia menghilangkan maruah diri.

2. Setiap kesalahan yang dilakukan jadikanlah pengajaran, insaflah ini tanda kelemahan diri, kesalilah keterlanjuran itu dan berazamlah tidakmengulanginya lagi.

3. Syukur nikmat dan sabar di dalam ujian amat mudah diucapkan tetapi amat sulit dilaksanakan.

4. Kesenangan dan kemewahan selalunya membawa kepada kesombongan dan kelalaian. Kesusahan dan penderitaan itu, selalunya membawa kekecewaan dan putus asa, kecuali orang yang mukmin.

5. Di antara tanda-tanda orang-orang yang sombong itu cepat melahirkan sifat marah, suka memotong percakapan orang, suka bermujadalah yakni bertegang leher, nampak di mukanya rasa tidak senang jika ada orang yang lebih darinya di satu majlis, bercakap meninggikan suara, pantang ditegur, tidak ada tanda-tanda kesal di atas kesalahan.

6. Orang yang sudah hilang sifat marah (dayus), cepat melahirkan sifat marah (lemah mujahadah). Orang yang ada sifat marah tapi dapat disembunyikan kecuali di tempat-tempat yang munasabah inilah manusia normal.

7. Tahu diri kita hamba itu adalah ilmu, merasa diri kita itu hamba itu penghayatan, yang kedua inilah akan lahir sifat tawaduk, malu, khusyuk, takut, hina dan lain-lain lagi sifat kehambaan.

8. Jika kita mengingati dosa, kita tidak nampak lagi kebaikan kita, apatah lagi untuk dibanggakan.

9. Lahirkan kemesraan kita sesama manusia kerana itu adalah haknya tapi jangan putus hati kita dengan ALLAH, ini adalah hakNYA pula.

10. Apabila rasa senang dengan pujian, rasa sakit dengan kehinaan menunjukkan kita ada kepentingan peribadi, tanda kita tidak ikhlas membuat kebaikan.

Thursday, October 16, 2008

Hendaklah kita menjadi seorang yang Pemaaf

HENDAKLAH KITA MENJADI SEORANG YANG PEMAAF
Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus

Perbuatan memohon serta memberi kemaafan merupakan satu amalan yang mulia disisi syarak. Oleh itu di antara adat resam orang Melayu ketika menyambut Aidilfitri adalah dengan saling bermaafan di antara satu sama lain. Ucapan yang paling sering kita dengar ketika sambutan Aidilfitri adalah 'maaf zahir dan batin'. Oleh itu sewajarnya untuk kita membincangkan tentang bagaimana untuk menjadi seorang yang pemaaf secara hakiki ketika kehangatan sambutan Aidilfitri semakin terasa.

Adakalanya kita merasakan begitu sukar untuk memaafkan orang yang pernah melakukan kesilapan terhadap kita. Terkadang juga kita masih terbawa-bawa dengan kesilapan yang telah dilakukan terhadap kita bertahun-tahun yang lampau dan ianya masih lagi menjejaskan hubungan kita dengan pihak tersebut. Ini sebenarnya secara tidak langsung menyalahi perintah Allah S.W.T. untuk mencintai sesama muslim. Sabda Nabi s.a.w.:Tidak sempurna keimanan seseorang daripada kalian, sebelum dia mencintai saudaranya (sesama Muslim) sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri. (Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahih al-Bukhari, hadis no: 13)

APAKAH MAKNA MEMBERI KEMAAFAN

Erti memberi kemaafan adalah apabila seseorang itu mampu untuk membalas kejahatan yang dilakukan terhadapnya atau menuntut sesuatu dari mereka yang melakukan kesalahan tersebut namun dia tidak melakukannya malah dia memaafkannya secara ikhlas demi mengharapkan keredhaan Allah S.W.T..Sesungguhnya di dalam al-Qur'an terdapat sebuah kisah yang akan lebih memperjelaskan makna memberi kemaafan.


Nabi Yusuf a.s. merupakan anak kesayangan bagi Nabi Ya'kub a.s. sehinggakan Nabi Yusuf dicemburui oleh saudara-saudaranya yang lain. Lalu mereka mengkhinati Nabi Yusuf dan mencampakkan baginda ke dalam sebuah perigi. Namun demikian baginda telah diselamatkan oleh sekumpulan musafir dari negara Mesir lalu mereka membawanya ke sana. Untuk dipendekkan cerita akhirnya Nabi Yusuf telah dilantik oleh pemerintah Mesir untuk menjadi pembesar negara yang bertanggungjawab menjaga perbendaharaan. Baginda kemudiannya ditakdirkan untuk bertemu semula dengan saudara-saudaranya yang telah mengkhianati baginda sebelum ini. Dengan kekuasaan yang ada pada tangan baginda tentu sekali dengan mudah baginda mampu untuk membalas perbuatan khianat saudara-saura kandungnya itu.

Namun sikap pemaaf baginda telah menghindarinya dari bersikap sedemikian rupa dan kisah ini telah dirakamkan di dalam al-Qur'an melalui ayat-ayat di bawah:Mereka bertanya (dengan hairan): "Engkau ini Yusufkah? " Ia menjawab: "Akulah Yusuf dan ini adikku (Bunyamin).

Sesungguhnya Allah telah mengurniakan nikmat-Nya kepada kami. Sebenarnya sesiapa yang bertaqwa dan bersabar, maka sesungguhnya Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang yang berbuat kebaikan.

Mereka berkata: "Demi Allah! Sesungguhnya Allah telah melebihkan dan memuliakan engkau daripada kami (disebabkan taqwa dan kesabaranmu); dan sesungguhnya kami adalah orang-orang yang bersalah".Yusuf berkata: "Kamu pada hari ini tidak akan ditempelak atau disalahkan (tentang perbuatan kamu yang telah terlanjur itu), semoga Allah mengampunkan dosa kamu, dan Dia lah jua Yang Maha Mengasihani daripada segala yang lain yang mengasihani. (Yusuf (12) : 90-92)


KEUTAMAAN MEMBERI KEMAAFAN

Ø Sikap pemaaf merupakan ciri-ciri orang yang bertaqwa
Orang yang bertaqwa adalah mereka yang mengerjakan segala perintah Allah S.W.T. dan meninggalkan segala larangan-Nya. Allah S.W.T. telah mengkategorikan mereka yang pemaaf termasuk dalam golongan muttaqin (orang yang bertaqwa).


Firman-Nya:Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa; iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik. (Aali Imraan (3) : 133-134)Ø Allah S.W.T. mengampunkan mereka yang pemaaf serta menempatkan mereka di syurga.

Dari ayat di atas ini juga dapat kita membuat kesimpulan bahawa mereka yang pemaaf mudah mendapat keampunan Allah S.W.T. dan akan ditempatkan di syurga. Di ayat yang lain Allah 'Azza wa Jalla berfirman:… dan (sebaliknya) hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. (al-Nuur (24) : 22)Ø Sikap pemaaf merupakan akhlak yang mulia yang dituntut oleh syarak

Sikap mudah memaafkan orang lain merupakan suatu akhlak yang mulia lagi terpuji dan ianya tergolong dalam amalan yang amat digalakkan perlaksanaannya oleh Allah S.W.T.. Firman-Nya:Dalam pada itu (ingatlah), orang yang bersabar dan memaafkan (kesalahan orang terhadapnya), sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat (melakukannya). (al-Syuura (42) : 43)Ø Allah S.W.T. mengasihi mereka yang pemaaf

Allah S.W.T. mengasihi mereka yang mudah memaafkan kesalahan orang lain. Firman-Nya:… dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik. (Aali Imraan (3) : 134)Tentu sekali bagi mereka yang dikasihi oleh Allah S.W.T. akan mudah mendapat rahmat serta keampunan-Nya.Demikianlah beberapa keutamaan yang sempat penulis ketengahkan untuk menunjukkan betapa agungnya sikap mudah memaafkan serta melupakan kesalahan orang lain terhadap kita.NABI S.A.W. MERUPAKAN SEORANG YANG PEMAAF

Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. merupakan sebaik-baik contoh ikutan bagi seluruh umat manusia. Di antara contoh keperibadian yang tinggi yang wujud dalam diri Rasulullah s.a.w. adalah sikap pemaaf baginda. Hal ini dapat kita perhatikan di dalam banyak peristiwa yang terjadi pada diri baginda melalui banyak riwayat-riwayat yang sabit.


Namun begitu memadai bagi penulis untuk menurunkan beberapa sahaja hadis-hadis yang berkaitan. Aishah r.a berkata:Tidak pernah Rasulullah s.a.w. mempergunakan tangannya untuk memukul isteri atau pelayan, kecuali ketika dalam perang fisabilillah dan belum pernah Rasulullah diganggu lalu membalas kecuali jika terlanggar suatu hukum Allah, maka dia membalas kerana Allah 'Azza wa Jalla. (Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahihnya, no: 2328)

Hadis di atas ini menjadi dalil bahawa sifat suka memberi kemaafan ini harus sesuai dengan keadaan. Sekiranya hukum Allah S.W.T. ditolak malah dihina, maruah umat Islam dicalar, maksiat berleluasa dan lain-lain perbuatan berat yang menyalahi syarak maka sewajarnya untuk kita memberi balasan ataupun tindakan yang sewajarnya.

Sebagai contohnya sekiranya ahli keluarga kita melakukan maksiat, tidaklah semestinya untuk kita secara semberono memaafkannya tanpa memberi hukuman yang setimpal. Sekiranya setelah ditegur ataupun diberi hukuman setimpal dan dia menyedari akan kesilapannya serta bertaubat untuk menjauhi perbuatan maksiat tersebut maka hendaklah kita memaafkannya serta menyokong usahanya untuk berubah ke arah kebaikan.

Ibnu Mas'ud r.a berkata:Seolah-olah saya masih melihat pada Rasulullah s.a.w. ketika kejadian seorang Nabi yang dianiayai kaumnya hingga berlumuran darah, sambil mengusap darah dari mukanya lalu bersabda: "Ya Allah, ampunkanlah kaumku kerana mereka tidak mengetahui." (Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya, no: 3477)Semoga riwayat-riwayat di atas akan dijadikan pedoman bagi kita untuk mudah memaafkan kesalahan orang lain terhadap diri kita.

CIRI-CIRI YANG PERLU ADA UNTUK MENJADI SEORANG YANG PEMAAF

Sesungguhnya terdapat beberapa kualiti diri yang perlu ada di dalam diri masing-masing sebelum dapat menjadi seorang yang pemaaf. Tanpa ciri-ciri tersebut tentu sekali amat sukar bagi sesiapa jua untuk memaafkan mahupun melupakan kesalahan orang terhadap dirinya. Ciri-ciri tersebut adalah:Ø Bersabar

Boleh dikatakan sikap sabar ini adalah pokok bagi bercambahnya segala akhlak-akhlak yang mulia. Jika dilihat kepada sikap pemaaf yang sedang kita perbincangkan ini, ianya hampir pasti tidak akan terlaksana tanpat sifat sabar. Sekiranya seseorang membuat kesalahan terhadap kita lantas kita hilang sabar maka ianya akan menimbulkan perasaan marah dan sekiranya perasaan marah ini pula tidak dibendung ianya akan menimbulkan pula perasaan dendam terhadap pelaku kesalahan tersebut. Sebaliknya sekiranya kita mampu untuk bersabar terhadap kesalahan orang lain terhadap kita maka kita akan lebih mudah untuk memaafkannya serta melupakan segala kesalahan yang telah dilakukannya.


Oleh itu tidaklah menjadi satu hal yang aneh sekiranya Allah S.W.T. memberi ganjaran yang amat besar bagi mereka yang penyabar. Firman-Nya:Katakanlah (wahai Muhammad, akan firmanKu ini, kepada orang-orang yang berakal sempurna itu): "Wahai hamba-hambaKu yang beriman! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu. (Ingatlah) orang-orang yang berbuat baik di dunia ini akan beroleh kebaikan (yang sebenar di akhirat). dan (ingatlah) bumi Allah ini luas (untuk berhijrah sekiranya kamu ditindas). Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira". (al-Zumar (39) : 10)Ø Mengawal perasaan Marah

Perasaan marah merupakan satu senjata tipu daya syaitan untuk memporak-perandakan hidup manusia. Syaitan sememangnya sentiasa ingin melihat kehidupan manusia porak-peranda dan berduka-cita. Lalu dibisikkan ke telinga-telinga manusia api kemarahan dan menghindari sikap saling bermaafan untuk mengeruhkan lagi suasana. Ini sememangnya tugas syaitan, musuh yang nyata bagi golongan yang beriman.


Firman Allah S.W.T.:Sesungguhnya perbuatan berbisik (dengan kejahatan) itu adalah dari (hasutan) Syaitan, untuk menjadikan orang-orang yang beriman berdukacita; sedang bisikan itu tidak akan dapat membahayakan mereka sedikitpun melainkan dengan izin Allah; dan kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman berserah diri. (al-Mujadalah (58) : 10)Maka itu penting bagi kita untuk mangawal perasaan marah supaya terbuka pintu kemaafan di hati kita terhadap kesalahan yang dilakukan oleh pihak lain. Sikap mengawal marah ini ternyata amat dititik-beratkan oleh Rasulullah s.a.w. kerana apabila seorang sahabat meminta nasihat daripada baginda s.a.w. ternyata baginda bersada: Jangan Marah.

Kemudian orang tersebut mengulangi permintaanya untuk mendapatkan nasihat. Sekali lagi baginda menjawab:

Jangan Marah. (Sila rujuk peristiwa ini di dalam Shahih al-Bukhari, hadis no: 6116)Ternyata mengawal perasaan marah itu adalah penting di sisi Nabi s.a.w. sehingga berulang-ulang kali baginda mengingatkannya kepada sahabat tersebut.

Baginda juga beranggapan bahawa bagi seseorang yang mampu mengawal perasaan marah maka dia merupakan seorang yang gagah perkasa.

Sabdanya:Bukan ukuran kekuatan seseorang itu dengan bergulat (bergusti), tetapi orang yang kuat itu adalah orang yang mampu mengawal hawa nafsu ketika marah. (Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, hadis no: 6114)Allah S.W.T. juga akan memberi ganjaran yang besar bagi mereka yang mampu mengawal perasaan marah.

Rasulullah s.a.w. bersabda:Siapa yang menahan perasaan marah sedangkan dia mampu untuk melaksanakannya (melepaskan kemarahannya), maka kelak pada hari kiamat, Allah akan memanggilnya di hadapan sekalian makhluk, kemudian disuruhnya memilih bidadari sekehendaknya. (Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi di dalam Sunannya, no: 2417)

Sebaiknya untuk kita meredakan perasaan marah kita terhadap seseorang hendaklah kita fokuskan jiwa kita untuk melihat sudut positif yang terdapat di dalam orang yang sedang kita marahi tersebut. Mungkin terdapat banyak perkara-perkara baik yang pernah dia lakukan terhadap kita yang sekiranya kita renungkan secara mendalam akan memadamkan api kemarahan yang wujud di dalam jiwa kita. Sebagai contohnya apabila kita marah melihat kesalahan yang dilakukan oleh isteri kita maka hendaklah kita fokuskan perbuatan-perbuatan yang baik yang pernah dilakukannya sepanjang perkahwinan kita.

Rasulullah s.a.w. bersabda:Janganlah seorang mukmin membenci seorang mukminah. Apabila dia membenci sebahagian akhlaknya maka mungkin dia boleh meredhai akhlaknya yang lain. (Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, no: 1469)Ø Menghilangkan perasan dendam kesumat

Perasaan marah yang tidak dapat dilenyapkan akan mewujudkan perasaan dendam di dalam jiwa. Maka hati akan merasa berat untuk memaafkan seseorang dan terbitlah perasaan benci serta perasaan ingin menjauhkan diri daripada orang tersebut. Perasaan dendam juga akan menyebabkan kita ingin menghukum pihak yang telah melakukan kesalahan terhadap kita.

Saidina Abu Bakar al-Shiddiq r.a pernah menghadapi masalah perhubungan dengan salah seorang ahli keluarga beliau yang bernama Misthah lalu beliau mengambil keputusan untuk tidak memberi nafkah kepadanya kemudian turunlah firman Allah Ta'ala:Dan janganlah orang-orang yang berharta serta lapang hidupnya dari kalangan kamu, bersumpah tidak mahu lagi memberi bantuan kepada kaum kerabat dan orang-orang miskin serta orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah; dan (sebaliknya) hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. (al-Nuur (24) : 22)Hendaklah kita sedaya-upaya menghindari untuk membalas kejahatan yang dilakukan oleh orang lain dengan kejahatan yang lain. Jangan kita membalas celaan dengan celaan, umpatan dengan umpatan, caci-maki dengan caci-maki kerana ianya hanya akan mengeruhkan lagi suasana. Sabda Rasulullah s.a.w.:Jika ada seseorang mencelamu dengan sesuatu noda yang ada di dalam dirimu, maka janganlah mencelanya dengan menunjukkan suatu noda yang ada di dalam diri orang tersebut. (Hadis riwayat Imam Ahmad daripada Jabir bin Muslim r.a)Ø

Lemah lembut

Di antara batu penghalang utama untuk kita menerapkan sikap saling bermaaf-maafan adalah sikap yang kasar, keras kepala dan berhati batu. Oleh itu sikap lemah lembut dalam pergaulan seharian terutamanya dengan sesama muslim merupakan satu akhlak yang terpuji dan mencerminkan budi pekerti yang luhur dan kewarasan jiwa. Nabi s.a.w. pernah bersabda:Wahai 'Aisyah! Sesungguhnya Allah itu Maha Lembut dan mencintai kelembutan dan

Dia memberikan atas (sebab) kelemah-lembutan apa yang tidak Dia berikan atas (sebab) kekerasan dan yang tidak yang tidak dia berikan atas (sebab) selainnya. (hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahihnya, no: 2593)Dan Allah S.W.T. juga telah menganugerahkan kepada Nabi-Nya sikap lemah lembut terhadap umat manusia yang lain dan sikap ini merupakan daya tarikan terhadap manusia disekelilingya terhadap dakwahnya. Melalui sikap lemah-lembut ini jugalah membuahkan munculnya sifat suka memaafkan kesalahan pihak lain. Firman Allah S.W.T.:Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu.

Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya. (Aali Imraan (3) : 159)KESIMPULAN

Justeru itu hendaklah lafaz 'maaf zahir dan batin' yang kita ucapkan pada hari lebaran ini kita lakukan dengan penuh keikhlasan dan bukan sekadar mengikut adat resam. Kita hendaklah menjadi seorang yang gemar memaafkan kesalahan orang lain kerana sifat ini merupakan cerminan bagi akhlak yang mulia dan ianya dituntut oleh syarak. Sikap saling memaafkan ini merupakan salah satu dari ciri-ciri yang perlu wujud di dalam masyarakat Islam demi untuk mengukuhkan perpaduan serta persaudaraan yang kian terhakis.

Perpecahan yang melanda umat Islam telah melemahkan kita sehinggakan kita berantakan sesama sendiri sedangkan pihak musuh Islam sentiasa menantikan ruang-ruang kelemahan yang ada demi untuk meruntuhkan apa sahaja kekuatan yang masih wujud pada umat Islam. Ingatlah bahawa semua umat Islam itu bersaudara dan hindarkanlah dari berpecah-belah.

Firman Allah S.W.T.:Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya. (Aali Imraan (3) : 103)

Tuesday, October 14, 2008

PENGURUSAN MASA

Pengurusan masa adalah penting dalam kehidupan seharian kerana masa merupakan aset yang amat penting dan bernilai . Semua perkara bergantung kepada ketentuan masa samada ia memberi keuntungan atau kerugian. Dengan itu pepatah ada mengatakan bahawa " masa itu emas "

Kepentingan masa dijelaskan oleh Allah s.w.t. didalam Al-Quran dalam surah Al-Ashr sepertimana firman:Maksudnya : Demi masa, sesungguhnya manusia itu berada di dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan sabar.

Firman Allah didalam surah Al-Isra' ayat 79 :Bermaksud : Dan bagunlah dari sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah sembahyang tahajjud padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu, semoga tuhammu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat ditempat yang terpuji.

Islam menyarankan umatnya supaya menguruskan masa dengan cara terbaik dan cermat supaya sesuatu pekerjaan itu dilakukan dengan lebih berkesan dan berkualiti . Berhubung dengan pengurusan masa, maka kita sebagai manusia yang waras hendaklah hendaklah sentiasa memikirkan bahawa adakah kita telah menggunakan masa yang diberikan kepada kita dengan sebaik-baiknya? dan melakukan sesuatu kerja berdasarkan pembahagian masa yang tepat atau semata-mata berdasarkan kepentingan-kepentingan tertentu.

Kebaikkan orang menyebut bahawa dia tidak ada masa untuk melakukan sesuatu pekerjaan. Apakah itu benar? Jika benar, mengapa ada orang yang dapat menyiapkan kerja yang sama dalam masa yang ditentukan. Jawapan sebenarnya ialah kerana masa tidak diuruskan dengan baik menyebabkan sesuatu kerja itu kekal dilaksanakan sepertimana yang dirancangkan.

Untuk menguruskan masa supaya tidak menimbulkan kerugian dalam hidup ini serta mendapat keberkatan dari Allah s.w.t. maka setiap individu hendaklah memperuntukkan masa seperti berikut :

1. Masa beribadat kepada Allah (ibadat khusus) dengan mengerjakan sembahyang, puasa, zakat, menunaikan haji, berzikir dan lain-lain.

2. Masa bekerja . Mengikut bidang pekerjaan masing-masing, asalkan ia tidak bercanggah dengan syariat Islam.

3. Masa untuk menambahkan intelektual. Samada melalui pembelajaran formal atau tidak, pembacaan, pendengaran, perbincangan, menghadiri majlis ilmu yang boleh meningkatkan kemantapan dan keintelektualan.

4. Masa bekeluarga . Setiap individu perlu kepada kebahagian keluarga untuk mencapai kebahagian, ia bergantung kuat kepada kebijaksanaan menguruskan masa tersebut.

5. Masa bermasyarakat dan bersosial . Setiap individu memerlukan hidup bermasyarakat dan perlu kepada bantuan orang lain. Oleh itu, kerja-kerja kemasyarakatan perlu diperuntukan masa yang sesuai dan khusus supaya hubungan antara satu sama lain bertambah erat dan mesra. Sebagai contoh, mengadakan aktiviti gotong-royong, bersukan, berpersatuan kerja-kerja amal dan sebagainya.

Najis Rasuah Menggugat Integriti Pengurusan

NAJIS RASUAH MENGGUGAT INTEGRITI PENGURUSAN

Islam menetapkan bahawa pekerjaan adalah sebahagian daripada ibadah jika selari dengan etika kerja Islam. Etika Kerja Islam itu ialah meletakkan niat bekerja kerana Allah SWT, ikhlas, melaksanakan dengan amanah dan tekun serta tidak mengabaikan ibadah khusus yang lain .

Oleh itu, Islam menggalakkan umatnya bekerja kuat dan mencari kekayaan . Dengan demikian umat Islam berpeluang membayar zakat dan bersedekah bagi tujuan memakmurkan agama Islam serta meringankan penderitaan manusia sejagat. Nabi Muhammad SAW bersabda yang mafhumnya: " Tangan Yang Memberi Lebih Baik Daripada Tangan Yang Menerima ". Dengan demikian kita gunakanlah sepenuhnya organisasi kita sebagai tempat yang mempunyai integriti, mampu memartabat kesucian agama, menjaga kesejahteraan negara dan masyarakat.

Dalam usaha mencari kekayaan itu Islam telah meletakkan garis panduan yang jelas supaya umat Islam tidak terjebak dengan amalan budaya berdosa . Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 188:

Bermaksud: " Dan janganlah kamu makan harta orang lain di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) harta manusia dengan (berbuat) dosa, pada hal kamu mengetahui (salahnya) " .

Ketika mengulas bahaya najis rasuah ini Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: " Rasulullah SAW telah melaknat pemberi rasuah, penerima rasuah dan orang yang menjadi orang perantaraan " .(Riwayat Ahmad)

Mereka yang terlibat dalam amalan najis rasuah ini dikutuk Allah SWT dan dihumban ke dalam api neraka . Satu lagi timbul persoalan, apakah mereka yang terlibat dengan najis rasuah ini akan diwarisi pula oleh baka atau keturunan mereka?.

Jabir bin Zaid meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: " Setiap daging yang tumbuh dari sumber yang diusahakan dengan jalan yang haram, maka nerakalah yang selayak baginya ".

Berdasarkan hadith ini, nyata terdapat perkaitan kuat bahawa mereka yang bergelumang dengan najis rasuah ini berkemungkinan besar akan diwarisi pula oleh anak pinak mereka .

Mereka yang menolak amalan najis rasuah adalah manusia hebat dan cemerlang kerana:

Pertama : Menjamin kesinambungan nasab atau keturunannya kekal dalam keadaan insan yang beriman dan berintegriti ;

Kedua : Meningkatkan martabat dan integriti organisasi serta warga pengurusan;

Ketiga : Meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap pemimpin yang berani memerangi najis rasuah; dan

Keempat : Membuktikan bahawa amalan ibadah-ibadah khusus seperti sembahyang, puasa, berzakat dan haji yang diamalkan telah berjaya mencegah dirinya terlibat dengan najis rasuah.


Maksudnya : " Dan sekiranya penduduk negeri itu beriman serta bertaqwa, tentulah kami bukakan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu kami timpakan mereka azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan " .

Friday, September 19, 2008

Riak

Orang yang tidak ikhlas menunaikan kerja ibadatnya adalah orang yang diserangpenyakit riak yang membatalkan ibadatnya. Riak terbahagi kepada dua: riak khususdan riak bercampur.
Riak khusus ialah berkehendakkan manfaat dunia semata-mata daripada amalanyang dikerjakan. Manakala riak bercampur ialah berkehendakkan manfaat duniadan akhirat.

Mengikut pendapat (Qaul) yang terpilih, tiada kadar tertentu terbatalnya pahalaakibat riak itu. Yang jelas, riak itu mengakibatkan amalan tidak diterima, ditolakterus atau dikurangkan pahalanya.

Diriwayatkan, apabila seseorang hamba Allah yang riak menuntut pahala amalannyapada hari kiamat, Allah Taala lalu berfirman bermaksud:
Tidakkah Aku luaskan untukmu tempat kedudukanmu di majlis-majlis? TidakkahAku jadikan engkau pemimpin manusia di dunia? Tidakkah Aku murahkan(permudahkan) urusan perniagaanmu? Apakah kamu tidak dimuliakan?

Riwayat ini bermaksud, tuntutan pahala daripada hamba Allah itu tidakdiperkenankan, kerana amalannya tidak ikhlas. Cukuplah untuk dia mendapatmanfaat dunia yang menjadi matlamatnya.
Mengikut Imam al-Ghazali: 'Bakhil dalam hadith tersebut bermaksud, bakhil yangsejahat-jahat bakhil, iaitu bakhil daripada mengucapkan La Ilaha Illallah,Muhammadun Rasulullah. Manakala riak itu pula ialah sejahat-jahat riak, iaitu riakorang munafik, menunjuk-nunjuk imannya dan tauhidnya dengan kata-kata danperbuatan, tetapi di dalam hatinya berlainan. Orang yang tidak mengatasi bakhil danriak tersebut atau tidak membebaskan diri daripada serangan kedua-duanya, akanmenerima kecelakaan dan akan terjatuh dalam kekufuran, lalu terluputlah daripadasyurga dan berhak kekal dalam neraka.

Ibnu Abbas pula meriwayatkan, Rasulullah bersabda maksudnya, Sesungguhnyaneraka dan penghu-ninya menjerit-jerit kerana orang-orang riak. Ibnu Abbas lalubertanya, Kenapa mereka menjerit, ya Rasulullah? Rasulullah menjawab, Keranaterlalu panas api yang digunakan untuk menyeksa orang-orang riak.

Orang yang mengerjakan amal kebajikan kerana berkehendakkan manfaat dunia,walaupun manfaat itu diharapkan daripada Allah (bukan daripada manusia) adalahjuga termasuk dalam riak, iaitu riak khusus.

Menurut ulama riak itu adalah berdasarkan apa yang dikehendaki, bukan daripadasiapa kehendak itu diminta. Tidak kira, sama ada daripada Allah atau daripadamanusia, jika manfaat dunia yang dikehendaki, maka itu dikira riak.

Firman Allah mafhumnya: 'Barangsiapa berkehendakkan hasil tanaman akhirat,Kami tambahkan baginya hasil tanamannya dan barangsiapa berkehendakkan hasiltanaman dunia, Kami kurniakan kepadanya sebahagian daripadanya, tetapi tiadasedikitpun baginya bahagian akhirat.' (Surah asy-Syuura: Ayat 20).
Jika manfaat dunia yang dikehendaki untuk dijadikan bekalan beribadat, maka itudikira riak, ke-rana manfaat itu bukan bersifat du-niawi semata-mata, tetapibercampur dengan manfaat ukhrawi.

Jadi, niat untuk mencapai matlamat kebajikan ke jalan akhirat bukan dikira riak.Umpamanya, kita berusaha mencari pengaruh atau berusaha untuk mendapatpengorbanan orang ramai dengan cara meninggalkan taraf hidup kita, semata-matadengan tujuan agar kerja kebajikan kita, mi-salnya kegiatan dakwah, mendapatsokongan dan sambutan yang akan mendatangkan hasil yang diharapkan ataumendapat kejayaan yang cemerlang.

Hal seperti itu dikatakan sebagai usaha untuk mencapai matlamat kebajikan (untukakhirat), kecuali jika pengaruh dan penghormatan itu untuk memperolehi kemuliaan,kebesaran, kemasyhuran, kemegahan dan keadaan yang bersifat duniawi.

Jika tiada cinta dunia akan membeku

Tujuh abad yang lalu Jalaluddin Rumi penyair sufi besar dalam karyanya yang teragung 'Matsnawi' mengungkapkan, "Jika tiada cinta, dunia akan membeku". Cinta baginya adalah penaka lautan luas dan dalam, seluas dan sedalam daya jelajah nurani manusia itu sendiri. Cintalah yang semestinya menjadi atau kunci utama bagi hubungan antara manusia, antara kebudayaan dan antara sistem hidup yang berbeza.

Jelas sekali hari ini akibat corak hubungan manusia yang terlepas dari panduan cinta dan pertimbangan yang rasional telah membawa manusia kepada kebinasaan dan kehancuran. Contoh yang jelas peperangan yang berlaku sesama manusia adalah manifestasi dari iklim hati yang membeku, kecuali perang untuk membela diri dan membela keadilan yang hakiki.
Cinta adalah akar dari segala kebaikan dan keutamaan hidup manusia. Justeru itu Rasulullah s.a.w. dalam satu hadithnya memberi panduan yang bermaksud:
'Tidaklah beriman seorang di antara kamu sehingga ia mencintai saudaranya sebagaimana ia mencintai dirinya sendiri.'
Tidak dinafikan bahawa peradaban yang menguasai arus globalisasi, berkat ilmu dan teknologi moden, adalah peradaban yang lahir dari keadaan hati yang sedang membeku.
Akibat kebekuan hati manusia akan lenyapnya kepekaan terhadap nilai baik dan buruk. Baik dan buruk telah dijadikan barang perniagaan tanpa moral.

Hati yang beku dan tertutup inilah yang dinyatakan dalam al-Quran surah al-A'raaf ayat 179 firman Allah yang bermaksud:-2-
"Dan sesungguhnya kami jadikan untuk neraka jahanam banyak jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya dan yang mempunyai telinga tetapi tidak mahu mendengar ajaran dan nasihat".
Hati mereka sudah buta dan sudah tidak berfungsi lagi sebagaimana mestinya.

Implikasi kedua akibat hati ialah hubungan persaudaraan hanya didasarkan semata-mata atas kekuatan benda dan kepentingan-kepentingan duniawi lain. Akibatnya suasana persaudaraan umat manusia di dunia terasa begitu kering dan tandus. Umat Islam berpecah belah dan berperang sesama sendiri dan ajaran persaudaraan sejati seperti yang ditekan oleh al-Quran sudah tidak dihirau lagi semata-mata kerana tarikan kepentingan benda dan bangsa yang lebih diutamakan.


Implikasi ketiga akibat kebekuan hati manusia kita dapat lihat dalam bentuk tindakannya yang rakus, baik terhadap benda mahupun terhadap kekuasaan. Benda dan kekuasaan sesungguhnya apabila jatuh ke tangan hati yang beku akan membawa malapetaka. Kerakusan itu sebenarnya adalah simbol dan struktur batin yang sakit dan tidak bermaya. Malangnya, hari ini banyak sekali manusia tidak mampu melihat bencana yang mungkin ditimbulkan oleh watak manusia yang rakus ini.

Ketumpulan wawasan moral dan kerakusan terhadap kebendaan dan kekuasaan sepanjang sejarah telah mencabik-cabik prinsip kesatuan umat manusia ini.

Friday, August 22, 2008

Berilah Peluang Aku Hidup

Dunia ini pernah dicemarkan oleh sejarah hitam dalam tamadun manusia disebabkan ketiadaan aqidah dalam kehidupan. Masyarakat ketika itu hilang sifat kemanusiaan sehingga sanggup membunuh dengan menanam anak-anak terutama anak-anak perempuan hidup-hidup kononnya mempertahankan maruah diri, keluarga dan kabilah. Amalan jahiliyah tersebut kini berulang lagi malah lebih dahsyat di mana sesetengah bayi dibuang di merata-rata tempat kerana malu kepada masyarakat. Tempat-tempat pembuangan ialah di belakang rumah, di tepi jalan, di tepi hospital, di masjid, di tepi sungai, dikedai, ditempat pembuangan sampah, dihentian bas, ditandas dan lain-lain lagi.

Menurut statistik daripada pihak berkuasa di dapati jenayah membuang bayi terus meningkat dari tahun ketahun. Umpamanya pada tahun 2007 sebanyak 76 kes berbanding 62 kes pada 2006 di seluruh negara. Sepanjang tempoh 2004 sehingga 2007 sebanyak 252 kes telah direkodkan dan seramai 61 bayi mengalami kematian.

Firman Allah SWT di dalam surah Al-Isra’ ayat 32:
Maksudnya: " Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat." .


Mengikut kajian terdapat beberapa faktor menyebabkan berlakunya jenayah ini. Faktor terbesar ialah keterlanjuran dalam menjalin hubungan percintaan, pergaulan dan amalan seks bebas sebelum adanya ikatan perkahwinan yang sah mengikut hukum syarak, institusi keluarga yang bermasalah tiada persefahaman, bergaduh atau bercerai. Oleh itu setiap ibubapa perlu sedar bahawa masa hadapan anak-anak terletak kepada suasana tarbiyah dalam rumahtangga yang mereka bina. Jika suasana keimanan, keharmonian dan kasih sayang, nescaya Allah SWT akan mengurniakan kebahagiaan di dunia dan dia khirat.

Firman Allah SWT di dalam surah At-Thuur ayat 21:



Maksudnya: " Dan orang yang beriman yang diturut oleh zuriat keturunannya dengan keadaan beriman, kami hubungkan dengan mereka zuriat mereka dan kami tidak mengurangi sedikit pun dari pahala amal-amal mereka tiap-tiap seorang manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya " .


Faktor dalaman diri remaja juga merupakan punca kepada gejala ini. Kurang fahaman agama dan akhlak yang luhur menyebabkan mereka dikuasai oleh nafsu jahat sehingga berlakunya zina dan menyebabkan lahirnya anak luar nikah yang akhirnya dibuang kerana takut dan malu kepada keluarga serta masyarakat.

Penayangan filem berunsur seks oleh media elektronik, ( VCD ) lucah serta gambar pornografi di dalam internet juga menjadi punca yang turut merangsang para remaja terjebak ke lembah perzinaan yang membawa kepada lahirnya anak luar nikah di samping berleluasanya program-program hiburan yang melampau dalam masyarakat.

Perbuatan membuang bayi dimerata tempat dan terdedah kepada berbagai risiko termasuk kematian; di samping ada di antaranya menjadi mangsa binatang buas adalah satu jenayah yang amat zalim dan keji serta lebih hina tarafnya daripada haiwan. Malah haiwan lebih baik kerana mengasihani dan memelihara anak dan sanggup mati demi keselamatan anak-anak. Inilah implikasinya apabila rohani para remaja tidak di isi dengan ajaran agama. Renungilah amaran Allah SWT di dalam surah Al-A'raf ayat 179:



Maksudnya: " Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi) neraka jahanam kebanyakkan dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi ) tidak mahu memahami dengannya dan mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya dan mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya; mereka itu seperti binatang ternak bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang yang lalai " .

Antara langkah-langkah memerangi kemelut ini:
Pertama - Institusi keluarga perlulah diperkukuhkan dengan berlandaskan konsep rumahku syurgaku;
Kedua - Program-program dakwah perlulah dipertingkatkan dan digerakkan secara bersepadu;
Ketiga - Pihak yang bertanggungjawab perlulah mengawal pengedaran bahan-bahan lucah daripada tatapan anggota masyarakat terutama remaja;
Keempat - Program-program hiburan melampau yang merosakkan akhlak perlulah dikawal;
Kelima - Ibu bapa perlulah mengawal pergerakan anak-anak daripada terlibat dengan pergaulan bebas;
Keenam - Hukuman berat kepada mereka yang terlibat dalam melakukan jenayah pembuangan bayi perlulah diadakan;
Ketujuh - Bagi remaja yang terlanjur diinginkan janganlah membunuh bayi yang tidak berdosa. Berilah mereka peluang untuk hidup dan bersedialah untuk bertanggungjawab atas kesilapan diri bersama dengan pasangan masing-masing.

Wednesday, August 20, 2008

Keutamaan Memelihara Persaudaraan


Islam memberikan perhatian yang amat penting terhadap persoalan persaudaraan dengan menyuruh umatnya agar sentiasa menjaga dan memelihara ukhuwwah kerana ukhuwwah merupakan asas kekuatan bagi umat Islam. Di samping ia juga menambahkan keimanan dan ketakwaan dalam diri setiap muslim. Sebagai umat Islam kita hendaklah sentiasa membajai hati kita dengan sifat-sifat berkasih sayang terhadap sesama manusia khususnya umat Islam dan semua mahkluk ciptaan Allah s.w.t. dengan memiliki sifat seperti berkasih sayang dan rasa saling percaya mempercayai pada sesama manusia, ianya merupakan landasan kearah mewujudkan masyarakat yang harmoni, bersatu padu dan saling bekerjasama diantara satu sama lain.

Persaudaraan hasil daripada ikatan aqidah yang satu serta rela berkorban melakukan apa sahaja kebaikan untuk orang lain atau saudara seagama merupakan setinggi-tinggi darjat persaudaraan. Dan ini telah dibuktikan oleh Baginda Rasullullah s.a.w. dan para sahabat melalui persaudaraan diantara kaum Muhajirin dan Ansar di Madinah yang merupakan penduduk peri bumi di awal permulaan hijrah Baginda Rasullullah s.a.w. sehingga dapat melahirkan umat yang sanggup berkorban demi untuk saudara seagama dan memberi kekuatan kepada umat Islam.

Kisah mereka telah dirakamkan oleh Allah s.w.t. dalam surah al-Hasyr ayat 9 :

Bermaksud : " dan orang-orang Ansar yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum kedatangan mereka (orang-orang Muhajirin) mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka. dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berkehendak kepada apa yang telah diberikan kepada orang-orang yang berhijrah itu, dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan sangat-sangat berhajat. dan sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhil maka merekalah orang-orang yang berjaya ".

Berdasarkan ayat tersebut, jelaslah bahawa melalui persaudaraan sahajalah, dapat melahirkan suasana saling bekerjasama dan sanggup berkorban, melupakan soal kepentingan diri sendiri demi membina kemajuan dan melahirkan kesatuan ummah yang cemerlang terutama dalam melaksanakan tanggungjawab terhadap sesama manusia ( حَبْلٌ مِن َالناس) dan juga tanggungjawab terhadap Allah ( حَبْلٌُ مِنَ اللهِ ).

Didalam Islam orang-orang yang hidupnya sentiasa menjaga persaudaraan, mereka akan diberikan beberapa keutamaan oleh Allah s.w.t. diantaranya :

PERTAMA : Pada Hari Kiamat, Mereka Akan Berada Di Bawah Naungan Arasy Allah.

Sabda Rasullullah s.a.w. bermaksud : " Sesungguhnya Allah s.w.t. pada hari Kiamat berfirman : (dimanakah orang yang kasih mengasihi kerana keagongan-Ku? Pada hari ini aku akan menaungi mereka didalam naungan-Ku, pada hari yang tiada naungan melainkan naungan-Ku) " . ( Hadis riwayat Muslim )

KEDUA : Mereka Merasakan Manisnya Iman .
Sabda Rasullullah s.a.w. bermaksud : " sesiapa yang memiliki tiga perkara nescaya ia akan dapat merasakan kemanisan iman, iaitu bahawa ia mengasihi Allah dan Rasul-Nya lebih daripada yang lain dan ia mengasihi seseorang hanya semata-mata kerana Allah serta ia benci untuk kembali kepada kekufuran selepas ia diselamatkan oleh Allah daripadanya sebagaimana ia benci dicampakkan ke dalam api neraka . "
( Hadis riwayat bukhari dan Muslim )

KETIGA : Dosa-Dosa Mereka Diampuni Oleh Allah .

Sabda Rasullullah s.a.w. bermaksud : " Daripada al-Bara' r.a. katanya : telah bersabda Rasulullah s.a.w. : tiada diantara dua orang Islam yang bertemu maka lalu berjabat tangan kedua-duanya melainkan diampunkan bagi kedua-duanya sebelum mereka berpisah ".
( riwayat Abu Daud dan Tarmizi )

Malangnya umat Islam pada hari ini sedang berada dalam satu keadaan yang amat mengelirukan iaitu diantara pegangan ajaran agama dan amalan seharian. Islam menyeru umatnya bersatu padu dan berkasih sayang tatapi realitinya terdapat sebahagian umat Islam pada hari ini berpecah, bermusuh-musuhan, berpuak-puak dan lebih menyedihkan sanggup membunuh sesama sendiri. Semakin banyak seruan yang menyeru kepada kesatuan, maka semakin ketara keretakan dan perpecahan di kalangan umat Islam, dimana silapnya dan bila keadaan ini akan berakhir ?.

Keadaan yang mengelirukan ini ditambah lagi dengan konflik sesama sendiri dengan fitnah menfitnah, tuduh menuduh, hasut menghasut dan benci membenci antara satu sama lain. Keadaan ini sama sekali bertentangan dengan ajaran Islam yang menganjurkan umatnya berkasih sayang, hormat menghormati, bersatu padu dan saling bantu membantu antara satu sama lain. Firman Allah s.w.t. didalam surah Ali – Imran 103 ِ :

Maksudnya : " dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali agama Allah (Agama Islam) dan janganlah kamu bercerai berai, dan kenangkanlah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa Jahiliyah dahulu,) lalu Allah menyatukan diantara hati kamu (sehingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam,) maka jadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa Jahiliyah) lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga ) demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangannya supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya ".

Marilah sama-sama kita membina kembali hubungan persaudaraan yang semakin longgar serta memeliharanya dengan bersungguh-sungguh. sebagaimana contoh yang telah ditunjukkan oleh para sahabat sehingga terbentuk satu umat yang sangat kuat kesatuanya dan mampu menghadapi pelbagai cabaran dari musuh-musuh Islam. Maka dengan hal yang sedemikian, dapatlah kita umat Islam membina peradaban Islam yang unggul dan cemerlang serta mampu menjadi penyelesai kepada pelbagai persoalan semasa yang berlaku.

Diantara perkara-perkara yang perlu diambil perhatian untuk memantapkan persaudaraan ialah:

1 . Memberi Salam Apabila Bertemu Antara Satu Sama Lain.

Sabda Rasullullah s.a.w. :
Bermaksud : " Daripada Abu Hurairah r.a. katanya Sabda Rasullullah s.a.w. : " demi diriku dalam kekuasaan-Nya, kamu tidak akan dapat masuk syurga sehingga kamu beriman dan kamu tidak dikatakan beriman dengan sempurna sehinggalah kamu berkasih sayang, sukakah kamu jika aku tunjukkan sesuatu apabila kamu melakukannya nescaya kamu akan berkasih sayang ? sebarkanlah ucapan salam di kalangan kami " .
( Hadis riwayat Muslim )

2 . Sentiasa berhubung untuk bertanya khabar samada dengan bertemu secara langsung atau dengan apa sahaja cara perhubungan yang ada pada zaman yang serba canggih dan moden pada hari ini.

3 . Bantu membantu antara satu sama lain.

4 . Melazimkan ziarah menziarahi sebagai satu amalan hidup .

Maksudnya : " Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah diantara dua saudara kamu dan Bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.

( surah al-Hujurat : 10 )

Manusia: Mata dan MataNYA


Semua hamba Allah berkesempatan melihat keindahan dan kecantikan dunia ini kerana telah ditakdirkan Allah mereka buta penglihatan atau buta mata, mereka hanya tahu sifat sesuatu melalui orang yang celik penglihatan. Oleh itu bagi mereka yang dapat melihat hendaklah bersyukur kepada Allah S.W.T di atas nikmat penglihatan yang diberikan semoga dengan kesyukuran itu kita akan menggunakan nikmat mata yang dikurniakan oleh Allah S.W.T untuk melihat perkara-perkara yang baik dan memberi faedah kepada kita, seterusnya kita tidak dikatakan bersyukur kepada Allah sekiranya kita menggunakan mata kita untuk melihat perkara-perkara yang dilarang melihatnya.
Secara umum penglihatan manusia bolehlah dikategorikan kepada dua iaitu melihat dengan mata dan juga melihat dengan hati dan sering juga disebut orang melihat melihat dengan matahati. Berdasarkan pembahagian ini maka manusia yang terlibat dengan penglihatan dibahagikan kepada empat golongan:-
Pertama: Manusia yang celik mata dan celik hati. Mereka ini ialah orang yang dapat melihat dunia ini dan segala keindahan tetapi membataskan penglihatan mereka kepada perkara-perkara yang halal dan harus sahaja. Mereka tidak melihat perkara-perkara yang haram kerana hati mereka tidak membenarkan mereka berbuat demikian. Golongan yang celik mata dan celik hati ini adalah orang-orang yang sentiasa ingatkan kepada Allah walaupun dalam apa keadaannya sekalipun di samping akur dan tunduk kepada ketentuan perancangan Allah. Keadaan mereka ini digambarkan dalam firman Allah di dalam surah Ali Imran ayat 190-191 yang bermaksud:
"Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang, adalah tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal, iaitu orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): Wahai Tuhan kami! Tidakkah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau Maka peliharalah kami dari azab neraka."
Golongan kedua: Manusia yang buta tetapi celik hati. Manusia seperti ini tidak dapat melihat dunia ini dan segala keindahannya tetapi mereka dapat melihat kebenaran kerana hati mereka celik. Golongan seperti ini juga adalah orang-orang yang selamat kerana mereka langsung tidak melihat kemungkaran yang boleh menyebabkan bertambahnya dosa dan juga tidak terdorong untuk membuat maksiat hati mereka celik dan sentiasa mengajak untuk berbuat kerja-kerja baik yang diredhai oleh Allah. Sebab itulah, ramai dari kalangan orang-orang buta yang menjadi hafaz al-Quran kerana kecelikkan hati mereka membantu dan memudahkan mereka menghafaz al-Quran.
Golongan ketiga: Manusia yang celik mata dan buta hati. Mereka itu adalah orang yang dapat melihat dunia ini dan segala keindahannya tetapi melihat dunia ini dan perkara-perkara yang berkaitandengannya dengan pandangan dan penglihatan yang negatif ertinya mereka menggunakan nikmat mata untuk melihat perkara-perkara yang menghibur dan dapat memuaskan nafsu semata-mata. Mereka tidak menggunakan mata yang celik ituuntuk melihat perkara yang boleh mendorongkan mereka untuk mendekatkan diri kepada Allah kerana hati mereka telah buta dan mati. Golongan seperti ini cukup banyak di dunia ini dan mereka terdiri daripada orang-orang kafir dan Islam sendiri yang lemah iman dan tidak mempedulikan aturan dan ajaran Islam. Oleh itu menjadi tanggungjawab kita semua dari semua peringkat untuk berdakwah dan mengambil apa juga tindakan bagi menyedarkan masyarakat agar jangan menjadi orang yang celik mata dan buta hati jika sekiranya jumlah mereka ramai dan mengatasi pula jumlah orang-orang yang celik hati maka lagi banyaklah berlaku kezaliman di muka bumi ini dan kezaliman adalah perkara yang menjadi kebinasaan bagi orang yang buta hati.
Oleh itu marilah kita merenung dan menginsafi diri melalui firman Allah di dalam surah al-Haj ayat 45 dan 46 yang bermaksud:
"Maka bukan sedikit negeri-negeri yang Kami binasakan dengan sebab kezaliman penduduknya, lalu runtuh ranaplah bangunan-bangunannya dan bukan sedikit pula telaga yang telah terbiar dan istana yang terseragam (telah kosong ditinggalkan). Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya dengan melihat kesan-kesan yang tersebut mereka menjadi orang-orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (tetapi kalaulah mereka mengembarapun tidak juga berguna) kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada."
Golongan keempat: Manusia yang buta mata dan hati. Mereka ini adalah orang-orang yang paling malang kerana sudahlah mereka tidak dapat melihat dunia ini tetapi mereka juga tidak dapat melihat kebenaran melalui pancaindera hidayah Allah ke dalam hati.

Daripada empat golongan manusia yang disebutkan tadi hanya dua golongan sahaja yang bertuah dan istimewa di sisi Allah, golongan pertama ialah yang celik mata dan celik hati dan golongan kedua pula ialah yang buta tetapi celik hati. Oleh itu kita sebagai orang yang dapat melihat dunia marilah kita jadikan diri kita daripada golongan pertama dan sekiranya kita tidak dapat melihat dunia marilah kita masukkan diri kita terlibat dengan golongan kedua dan janganlah sama sekali kita terlibat dengan golongan ketiga dan keempat kerana golongan tersebut orang yang rugi hidupnya di dunia dan di akhirat.
Kita dapat mencelikkan hati kita dengan banyak belajar dan menginsafi diri bahawa diri kita sebenarnya dicipta dan dimiliki sepenuhnya oleh Allah S.W.T. Jika kita faham hakikat ini kita tidak akan sombong dan takbur lagi. Kita tidak akan melanggar larangan Allah dan sebaliknya kita hidup dalam keadaan penuh rendah diri dan sentiasa mematuhi perintah Allah, maka jadilah hati kita yang celik dan boleh melihat kebenaran dan jadilah hati kita hati yang lembut yang dalam menerima kebaikan.
"Orang yang diberi hidayah ialah orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah! Dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia." (Surah ar-Ra'd: 28)

Friday, July 11, 2008

Ikhlas

Perasaan ikhlas merupakan satu nilai yang melambangkan kesucian dan kebersihan hati seseorang. Nilai seperti ini sangat penting bagi seseorang dalam menjalankan amanah, tanggungjawab dan sebagainya kerana ia boleh mewujudkan cirri-ciri yang mulia dalam sesebuah masyarakat.

Keikhlasan adalah unsur penting bagi mengukur sesuatu kebaikan. Keikhlasan adalah membuat kebaikan semata-mata kerana kebaikan itu sendiri dan tidak mengharapkan balasan, selain daripada balasan Allah S.W.T. Kebaikan yang dilakukan itu mestilah bersih daripada segala tujuan yang jahat dan mungkar.

Orang yang ikhlas akan melaksanakan tugasnya sebagi suatu ibadah. Ia menjalankan tugas itu, bukan semata-mata kerana upah, tetapi kerana kewajipan untuk melaksanakan tanggungjawab dengan sempurna dan memuaskan.

Bekerja dengan ikhlas dan didorong oleh kesedaran untuk hidup dalam suasana beribadah kepada Allah S.W.T., pasti akan meningkatkan produktiviti dan akan menghasilkan kerja-kerja bermutu untuk kesejahteraan hidup di dunia. Kerja-kerja ikhlas pula akan mendapat pahala yang menjadi bekalan untuk kesejahteraan hidupnya di akhirat.

Ikhlas adalah sifat terpuji yang dituntut oleh Islam. Untuk menentukan sesuatu pekerjaan yang baik itu dikerjakan dengan ikhlas, Islam mewajibkan pekerjaaan itu dilaksanakan dengan disertai niat. Rasulullah s.a.w bersabda: Maksudnya

“Sesungguhnya pekerjaaan itu dikira sah dengan niat dan setiap orang itu memperolehi pahala mengikut niat”. (Riwayat; Al-Bukhari dan Muslim)

Salah satu daripada ciri-ciri sifat yang tidak ikhlas ialah riak. Riak ialah kerja yang dilakukan semata-mata hendak menunjuk-nunjuk. Riak ialah syirik yang tersembunyi.

Antara ciri-ciri riak ialah bekerja dan melakukan sesuatu bertujuan untuk mengampu dan membodek ketua, supaya kelihatan rajin dan bersungguh-sungguh, ibarat gunting dalam lipatan.

Justeru itu, keikhlasan adalah asas kepada kehidupan seseorang. Tidak mungkin adanya keyakinan dan keimanan tanpa ikhas. Mengaku beriman tanpa ikhlas adalah munafiq. Justeru itu, keimanan dan keikhlasan dalam perkhidmatan yang bersepadu akan membina teras kehidupan bermasyarakat. Melalui teras inilah tertegaknya amalan beragama yang terkumpul dalam makna ibadat, yang menjadi tujuan manusia diciptakan oleh Allah. Allah S.W.T berfirman; Maksudnya:

“ Dan mereka tidak diperintahkan melainkan untuk beribadah kepada Allah dengan penuh keikhlasan (yakni keyakinan yang ikhlas kepada Allah) dan lagi tetap teguh atas tauhid”.

Monday, July 7, 2008

MARAH

Marah ertinya gerakan nafsu diri, seketika meluap darah jantung dari suruhan syahwat untuk mempertahankan diri dan untuk melepaskan dendam. Cuma kemarahan itu tidak boleh timbul kalau tidak pada tempat dan waktunya. Bila kemarahan telah timbul tidak ditahan dgn fikiran dan akal sebelum dia menjalar, tidak ubahnya dia dengan api yg membakar, darah naik laksana wap, memenuhi otak, sehingga gelap menyelubungi hati sehingga tidak sanggup berfikir. Menyelimuti seluruh urat saraf, penglihatan nampak kecil bila memandang orang, ketika itu pertimbangan hilang, akal tertutup, fikir tersentak, angan-angan habis.

Sifat pemarah itu berasal daripada sifat sombong (ego). Lagi besar ego seseorang lagi besar marahnya.

Allah s.w.t berfirman:

“Perhatikanlah ketika Allah menimbulkan dalam hati orang-orang yang tidak beriman kepadaNya itu, perasaan sombong; iaitu sifat sombong zaman jahiliah, lalu Allah menurunkan pula ketenananganNya ke atasa RasulNya dan ke atas kaum Mu’minin.” (al-Fath: 26)

Kalau kita bersalah, kita tidak suka orang memarahi kita. Maka begitulah orang lain yang melakukan kesilapan, juga tidak suka dimarahi. Oleh itu tegurlah dengan lemah lembut dan kasih sayang.

Kita mesti ubati hati kita. Kita mesti membuangkan rasa "ketuanan" kita yang menyebabkan kita menjadi pemarah dengan melakukan mujahadatun nafsi.

DIANTARA KAEDAH-KAEDAH MENGELAKAN SIFAT MARAH
· Mula-mula kita perlu malu dengan Allah s.w.t akan segala tindak-tanduk kita. Allah memerhatikan segala perlakuan dan sikap biadab kita.
· Bila datang rasa hendak marah, ingatlah kita ini hanyalah manusia yang hina.
· Banyakkan berdiam diri dan berdoa kepada Allah agar Allah selamatkan kita daripada sifat marah.
· Hendaklah ingat kesan daripada sifat marah itu mungkin akan membawa kepada permusuhan dan pembalasan dendam dari orang yang anda marahi.
· Cuba bayangkan betapa buruknya rupa kita ketika kita sedang marah. Ianya lebih buruk daripada perlakuan seekor haiwan jikalau anda di dalam keadaan yang marah.
· Apabila datang marah, banyakkan baca Ta'awwuz ( A'uzubillahi minas Syaitanirrajim ) kerana marah itu datangnya daripada syaitan.
· Apabila marah sedang memuncak, ambil wudhu kerana wudhu dapat menenangkan api kemarahan yang sedang membara.
· Jikalau tidak boleh hilang marah dengan hal tersebut di atas, hendaklah tidur. Kerana ianya akan meredakan perasaan marah apabila bangkit daripada tidur
· Apabila datangnya marah, sedangkan anda berdiri, maka duduklah, sekiranya duduk, maka bersandarlah, Insha Allah kemarahan akan mulai reda.
· Tauhid kita perlu tepat. Setiap sesuatu itu datangnya dari Allah dan akan kembali kepada Allah. Kenapa kita perlu marah. Berbanyak-kanlah..beristighfar itulah senjata orang2 mukmin.

Sifat pemarah ada pada hampir semua orang seperti juga hasad dengki. Kenapa kita mesti marah? Telah berkata Mujahid di dalam sebuah bait syair:

"Takdir Allah telah putus dan putusan Allah telah terjadi. Istirehatkan hati dari kata-kata "Barangkali" dan "Kalau". Setiap kelemahan dan kesilapan manusia adalah ujian untuk kita. Allah mahu melihat bagaimana sabarnya kita dan malunya kita kepada Allah dengan mengucapkan " Inna lillahi wainna lillahi raji'un” (Dari Allah kita datang, KepadaNYA kita kembali).


Rasulullah s.a.w. pernah bertanya kepada para sahabat: Apakah yang kamu dapat fahamkan tentang maksud bergelut? Kata para sahabat: Penggusti yang tidak dapat ditumbangkan dalam pergelutannya.

Sabda baginda; Bukan itu yang aku maksudkan. Tetapi orang yang bergelut itu ialah orang yang dapat menahan dirinya, ketika dalam kemuncak kemarahannya.

Berkata Ja’far r.a.: Kemarahan itu kunci segala kecelakaan.

Setengah para sahabat berkata; Pokok dan pangkal sifat bodoh itu, ialah degil dan pemimpinnya ialah marah.


Sekali peristiwa Khalifah Umar Ibnul-Khattab r.a. telah didatangi oleh seorang dusun yang berwatak kasar, lalu berkata kepadanya: Wahai Umar! Demi Allah, engkau tidak berlaku adil dalam pemerintahanmu dan tidak memberikan secukupnya kepada kami. Mendengar itu, maka menjadi marahlah Khalifah Umar, hingga kemarahan itu ketara pada wajahnya. Tiba-tiba salah seorang para hadirin telah menyampuk dan berkata: Wahai Amirul Mu’minin! Bersabarlah. Tidakkah tuan mendengar firman Allah Ta’ala:

“Ambillah sikap pemaaf san suruhlah orang berbuat yang baik-baik, dan jangan mengendahkan orang-orang yang bodoh itu.” (al-A’raf:199)

Mendengar peringatan orang itu, Khalifah Umar pun bertenang semula, dan beliau memaafkan si penuduh itu.

Sifat suka memarahi orang lain akan mengakibatkan stress atau tekanana kepada diri sendiri dan orang yang dimarahi. Oleh itu hindarkanlah daripada sifat ini.

DIAM

Manusia berbicara setiap masa. Bicara yang baik akan membawa keselamatan dan kebaikan kpd manusia. Jika bicara tidak mengikut adabnya, manusia akan merana di dunia dan di akhirat. Di dunia akan dibenci oleh manusia lain manakala di akhirat bicara yang menyakiti hati org lain akan menyebabkan kita terseksa kekal abadi di dalam neraka Allah SWT. Bagi mereka yg beriman, lidah yg dikurniakan oleh Allah itu tidak digunakan untuk berbicara sesuka hati dan sia-sia. Sebaliknya digunakan utk mengeluarkan mutiara-mutiara yg berhikmah. Oleh itu, DIAM adalah benteng bagi lidah manusia drp mengucapkan perkataan yang sia-sia.

HIKMAH DIAM
1. Sebagai ibadah tanpa bersusah payah.
2. Perhiasan tanpa berhias.
3. Kehebatan tanpa kerajaan.
4. Benteng tanpa pagar.
5. Kekayan tanpa meminta maaf kepada orang.
6. Istirehat bagi kedua malaikat pencatat amal.
7. Menutupi segala aib.

Hadis2 Rasullulah mengenai kelebihan diam yg bermaksud:
* "Barangsiapa yg banyak perkataannya, nescaya banyaklah silapnya. Barangsiapa yg banyak silapnya, nescaya banyaklah dosanya. Dan barang siapa yg banyak dosanya, nescaya neraka lebih utama baginya".
( Riwayat: ABU NAIM )

* "Barangsiapa yg beriman kpd Alah dan Hari Akhirat, maka hendaklah ia berkata yg baik atau diam". ( RW BUKHARI & MUSLIM )

* "Barangsiapa diam maka ia terlepas dr bahaya".( RW AT-TARMIZI )

Madah Dari Hukama:

* BANYAK DIAM TIDAK SEMESTINYA BODOH, BANYAK CAKAP TIDAK SEMESTINYA CERDIK, KERANA KECERDIKAN ITU BUAH FIKIRAN, ORANG CERDIK YANG PENDIAM LEBIH BAIK DARIPADA ORANG BODOH YANG BANYAK CAKAP.

* MENASIHATI ORANG YG BERSALAH, TIDAK SALAH. YANG SALAH MEMIKIRKAN KESALAHAN ORANG..

* KALAU ORG MENGHINA KITA, BUKAN KITA TERHINA, YG SEBENARNYA ORG ITU MENGHINA DIRINYA SENDIRI.

Manusia tidak akan dapat mengalahkan syaitan kecuali dgn diam. Jalan yg terbaik ialah diam kalau kita tidak dapat bercakap kearah perkara2 yg baik. Bicara yg baik adalah lambang hati yang baik dan bersih yang bergantung kpd kekuatan iman pada diri manusia.

Dari Abdullah bin 'Amr R. A, Rasulullah S. A. W bersabda:
" Sampaikanlah pesanku biarpun satu ayat.."

Friday, June 6, 2008

Bersama Menangani Sifat Tercela Dalam Masyarakat

Manusia adalah mahkluk Allah yang terbaik kerana dicipta dengan sebaik-baiknya berbanding mahkluk Allah yang lain. Berdasarkan Islam sebagai agama yang sahih ini, maka sawajarnya umat Islam menjadi model dan contoh terbaik kepada penganut-penganut agama lain dalam mempamerkan kualiti hidup yang terpuji. Bagaimanapun kualiti Islam sebagai agama yang sahih dan umat Islam sebagai manusia yang terbaik telah tercemar kerana terdapat umat Islam mengamalkan sifat-sifat yang tercela atau keji. Malah amalan sifat-sifat tercela berlaku di masjid seperti pembaziran penggunaan air, pembaziran dalam pengambilan makanan, memandu laju di jalan raya, menipu pengguna dan sifat-sifat keji yang lain.

Apa yang nyata apabila kita mengamalkan sifat-sifat terpuji bererti kita memelihara iman dan Islam. Salah satu akhlak mulia yang dituntut olah Islam ialah berbuat baik atau tidak membuat sesuatu yang membawa mudharat dan kerosakan. Ibu bapa, pendidik dan pemimpin mestilah berusaha membentuk anak-anak mereka, murid-murid mereka dan pengikut mereka supaya membuat perkara-perkara yang mendatangkan kebaikan kepada orang lain atau tidak mendatangkan kemudharatan kepada orang lain. Firman Allah SWT dalam surah al-Qasas ayat 77:
Bermaksud: “Dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah-limpah), dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi, Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang membuat kerosakan."

Sebenarnya dorongan kita antuk mengamalkan sifat-sifat terpuji adalah sebagai usaha mengukuh hubungan baik dengan Allah SWT kerana kebaikan yang Allah beri kepada kita amat banyak. Hubungan baik manusia dengan Allah SWT bermula apabila kita memiliki iktikad dan kepercayaan yang benar terhadapnya. Dialah satu-satunya Tuhan yang layak disembah. Keyakinan dan iktikad terhadap Allah hendaklah benar-benar dibersihkan daripada fahaman dan amalan syirik serta kufur.

Sebagai umat Islam yang terbaik maka sawajarnya kita sentiasa bersifat terbuka untuk meningkatkan keimanan dan ketaatan kepada Allah SWT, bagaimanapun kita perlu ingat bahwa keimanan boleh berkurang dan menjadi lemah dengan perlakuan maksiat atau melakukan perbuatan keji

Hakikatnya wajib ke atas setiap manusia berusaha untuk memelihara keIslamannya dan menguatkannya dengan mengerjakan segala perintah Allah. Salah satu daripada akhlak terpuji manusia yang disayangi oleh Allah SWT ialah mereka membalas kejahatan orang lain dengan kebaikan. Sikap seperti ini umpama api yang menyala dan membakar akan terpadam apabila disirami air. Demikianlah kebaikan yang dilakukan oleh seseorang akan membuat hati yang keras menjadi lembut dan menimbulkan keinsafan tentang kejahatan yang dilakukan.


(Surah Fussilat ayat : 34-35)

Bermaksud: “Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik, apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib. Dan sifat yang terpuji ini tidak dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang-orang yang bersikap sabar, dan tidak juga dapat diterima dan diamalkan melayankan
oleh orang yang mempunyai bahagian yang besar dari kebahagiaan dunia dan akhirat.”

Friday, May 30, 2008

Tuntutan Pendidikan Sepanjang Hayat

Wahyu pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW ialah ayat 1 hingga 5 surah al-‘alaq. Perintah iqra’ yang bermaksud ‘bacalah’ kepada Nabi S.A.W, adalah isyarat betapa Islam memberikan perhatian yang cukup besar tentang kepentingan ilmu dalam menentukan darjat manusia.

Firman Allah dalam surah al-Mujadalah ayat 11:

Maksudnya: “Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat.”.

Ketika menggesa umat Islam mengambil perhatian mengenai peringatan Allah itu, Rasulullah SAW bersabda:

" " طَلَبُ الْعلْمِ فَرِيْضَةٌ عَلى كُلِّ مُسْلِمٍ. "
Maksudnya: "Menuntut ilmu itu adalah wajib ke atas setiap orang Islam"
( Riwayat Imam Ibnu Majah)

Pendidikan sebenarnya bermula segera setelah anak lahir dan akan berterusan sehingga manusia meninggal dunia. Pada dasarnya sebahagian besar masa anak-anak dihabiskan bersama dengan ibubapa. Ibubapa atau keluarga merupakan lingkungan pertama dan utama bagi proses pembelajaran seorang individu sekaligus meletakkan dasar pembentukan keperibadian anak. Pendidikan anak diperolehi terutama melalui interaksi antara ibubapa dan anak. Ketika berinteraksi dengan anaknya, ibubapa akan menunjukkn sikap dan perlakuan tertentu terhadap anak-anaknya. Oleh itu bagi menentukan kesinambungan proses pembelajaran antara sekolah dengan pembelajaran di rumah, maka ibubapa perlu dari masa ke semasa menyemak dan menyiasat kemajuan pendidikan dan disiplin anak-anak.

Apa yang nyata, Islam memberi pengiktirafan yang besar terhadap peranan guru-guru kerana guru memberi sumbangan yang besar dalam penyebaran ilmu kepada setiap jenerasi. Rasululah menyifatkan mereka yang menyebarkan ilmu itu adalah orang yang mewarisi tugas-tugas kenabian. Rasulullah bersabda:

"" الْعُلَمَاءُ وَرَثَةُ اْلأَنْبِيَاءِ. "

Maksudnya: ”Para ulama itu adalah pewaris para Nabi.”
(Diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Abu Daud dan Tarmizi)

Pada hari ini kita melihat orang yang mengejar ilmu pengetahuan semakin bertambah hingga bilangannya amat mengejutkan terutama sekali muda mudi kita dan pelajar-pelajar dalam pelbagai peringkat.

Persoalan besar timbul ialah mengapa terdapat pertambahan orang mengejar ilmu dari masa ke semasa?. Allah SWT menciptakan alam dengan seluruh isinya penuh dengan rahsia yang perlu dibongkarkan demi kemanfaatan manusia. Lantaran itulah maka Allah menjadikan manusia yang dibekalkan akal menjadi khalifah di muka bumi ini. Hal ini bertepatan dengan firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 30 :

Ertinya: “Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat, sesungguhnya Aku hendak menjadikan Khalifah di bumi ini”.

Sesungguhnya Allah S.W.T. menciptakan bumi ini untuk manusia, untuk ditadbir dengan sebaik-baiknya sesuai dengan penciptaan manusia sebagai khalifah. Sebagai khalifah, kita bertanggungjawab dan berkewajipan menguruskan muka bumi untuk kebaikan kita sendiri, manusia, haiwan, alam sekitar dan planet-planet lain yang berkaitan. Ingatlah! Mentadbir muka bumi ini bukanlah perkara yang mudah. Ia memerlukan penguasaan ilmu pengetahuan. Menguruskan alam merupakan amanah berat yang harus dipikul dan kelak akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah S.W.T.

Di samping itu manusia adalah makhluk yang tumbuh dan berkembang. Ia ingin mencapai satu tahap kehidupan yang selesa. Selama manusia berusaha untuk meningkatkan taraf kehidupannya, menambah ilmunya, memperhebatkan peribadinya, prestasi kerjanya, penampilannya, maka selama itulah proses pendidikan berjalan terus. Ini bermakna proses pendidikan dalam kehidupan manusia tidak terhad pada zaman persekolahan dan universiti sahaja malah berlaku pada sepanjang hayat. Sebab itu kita melihat ramai tokoh-tokoh politik, pemimpin kerajaan, ulama dan mereka yang telah berjaya dalam kerjaya terus membaca dan menjadi ulat buku bagi memenuhi keperluan tuntutan agama, organisasi, masyarakat dan negara.

Maksudnya: "Apabila matinya anak Adam maka terputuslah segala amalan melainkan tiga perkara iaitu sedekah jariah yang ditinggalkannya atau ilmu yang dimanfaatkan atau anak yang soleh yang mendoakannnya".
(Hadis riwayat Muslim)

Hadis ini memberi peringatan besar kepada umat Islam khususnya ibubapa bahawa membekalkan atau mewariskan ilmu pengetahuan menjadi saham terpenting dan amat bernilai kepada anak-anak untuk meneruskan survival mereka pada masa akan datang di dunia global yang penuh mencabar.

Marilah sama-sama kita berusaha menambah ilmu pengetahuan dalam segala bidang. Jadikanlah ia sebagai warisan generasi kita. Berbanggalah kita dengan menjadikan ilmu sebagai tuntutan sepanjang hayat. Jadikan ia sebagai matlamat individu, keluarga, masyarakat dan negara. Dengan berilmu insyaAllah kita menjadi umat yang cemerlang di mata dunia dan juga di akhirat nanti.

Wednesday, May 28, 2008

Ibadah Solat Menjana Kecemerlangan Ummah

Islam telah menetapkan bahawa solat lima waktu adalah teras ibadah yang paling utama. Ia menjadi alat untuk memperkukuhkan akhlak dan benteng pencegah kemungkaran. Berdasarkan besar peranan solat kepada umat Islam, maka Islam meletakkan solat sebagai tiang agama dan merupakan amal ibadah yang pertama sekali dihisab oleh Allah SWT di hari kiamat kelak.
Ini selaras dengan sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah:
Maksudnya: “Sesungguhnya amalan yang pertama dihitung pada hari kiamat ke atas seseorang Islam itu ialah solat fardhunya. Jika didapati sempurna solatnya nescaya berbahagia dan beruntunglah dia. Sebaliknya jika tidak sempurna (dengan baik dan khyusuk), akan menyesal dan rugilah dia. Jika seseorang itu didapati ada kekurangan daripada sesuatu amalan wajibnya, maka Allah SWT memerintahkan kepada para malaikat ‘Periksalah oleh kamu semua, adakah hamba-Ku itu mempunyai amalan solat sunat yang lain; sekiranya ada amalan tersebut dapat menampung kekurangan amalan wajibnya. Kemudian cara menghitung amalan-amalan lain juga sama dengan kaedah menghitung amalan solat ini.”(Sunan Tirmizi)Bagaimanakah solat dapat mengukuhkan akhlak dan mencegah diri kita daripada terjebak dengan perkara-perkara keji dan mungkar?.

Pada dasarnya pelaksanaan solat melibatkan dua aspek iaitu pergerakan fizikal (Badaniah) dan pergerakan dalaman (Rohaniah). Pergerakan Badaniah ialah setiap pergerakan zahir anggota badan seperti takbiratul ihram, ruku', ’itidal, sujud, bacaan dan sebagainya. Manakala gerakan Rohaniah ialah pemusatan pemikiran dan perasaan kepada Allah SWT sehingga melahirkan khusyuk, tawadhu' dan ikhlas semasa menunaikan solat. Oleh itu solat yang mampu mengukuhkan akhlak dan menjadi benteng kemungkaran ialah solat yang sempurna pergerakan fizikal dan pergerakan rohaniahnya. Hakikatnya kedua-dua aspek ini saling berhubung antara satu sama lain dan menjadi penentu kejayaan dan penghalang daripada melakukan kemungkaran dalam kehidupan.Apa yang nyata, kesan daripada solat yang sempurna akan menjadikan kita sentiasa mengingati kebesaran Allah SWT, taat dan patuh kepada segala perintah Allah SWT, berakhlak mulia, mencintai dan gemar melakukan kebajikan serta benci akan maksiat dan kemungkaran.
Yakinlah bahawa solat itu sangat besar fungsinya dalam memandu kehidupan kita ke jalan yang diredhai Allah SWT.Firman Allah SWT dalam surah al-Ankabut ayat 45 i:
Maksudnya: ”Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahikan kepadamu dari Al-Qur'an, dan dirikanlah solat (dengan tekun); sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan. "

Bagaimanapun apa yang menghairankan kita ialah terdapat juga segelintir masyarakat yang melakukan solat, tetapi selepas solat mereka terlibat dengan pelbagai perbuatan maksiat dan kemungkaran seperti pecah amanah, rasuah, berpecah belah, mengumpat, berhasad dengki, bakhil, tamak dan pelbagai lagi sifat negatif yang lain. Golongan yang sebegini amat dimurkai Allah SWT sepertimana firman-Nya dalam surah al-Muddathir ayat 42-43 berbunyi:Maksudnya: “Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar?. Orang yang bersalah itu menjawab: Kami tidak termasuk orang yang mengerjakan solat.”Ilmu sains telah mengesahkan bahawa solat memberi kebaikan kepada manusia. Di mana sewaktu proses pembakaran tenaga, akan berlaku ketidakseimbangan dalam tubuh kita yang menyebabkan kita letih dan lesu.
Justeru solat adalah salah satu kaedah bagi menyeimbangkannya ke tahap normal. Keistimewaan solat berjemaah pula boleh membantu menstabilkan cas positif dan cas negatif melalui kesan sentuhan bahu ke bahu di kalangan ahli jemaah yang berada di dalam saf.Pandangan Imam al-Ghazali tentang kaedah solat yang sempurna, iaitu:
Pertama : Sentiasa memelihara solat lima waktu tanpa sebarang alasan untuk meninggalkannya melainkan atas sebab-sebab uzur syarie.
Kedua : Sentiasa memperkemas bacaan-bacaan dalam solat dan memahami maknanya bagi memperolehi khusyuk.
Ketiga : Sentiasa mendidik dan memastikan ahli keluarga mengerjakan solat secara berjamaah.
Keempat : Sentiasa menghadirkan kebesaran Allah, seolah-olah kita sedang berhadapan dengan Allah SWT.
Kelima : Sentiasa malu kepada Allah SWT, kerana kelemahan dalam beribadah.
Keenam : Sentiasa mengharapkan rahmat Allah, serta mengharapkan solat yang dilakukan diterima oleh Allah SWT.

Ikhlas

Perasaan ikhlas merupakan satu nilai yang melambangkan kesucian dan kebersihan hati seseorang. Nilai seperti ini sangat penting bagi seseorang dalam menjalankan amanah, tanggungjawab dan sebagainya kerana ia boleh mewujudkan ciri-ciri yang mulia dalam sesebuah masyarakat.

Keikhlasan adalah unsur penting bagi mengukur sesuatu kebaikan. Keikhlasan adalah membuat kebaikan semata-mata kerana kebaikan itu sendiri dan tidak mengharapkan balasan, selain daripada balasan Allah S.W.T. Kebaikan yang dilakukan itu mestilah bersih daripada segala tujuan yang jahat dan mungkar.

Orang yang ikhlas akan melaksanakan tugasnya sebagi suatu ibadah. Ia menjalankan tugas itu, bukan semata-mata kerana upah, tetapi kerana kewajipan untuk melaksanakan tanggungjawab dengan sempurna dan memuaskan.

Bekerja dengan ikhlas dan didorong oleh kesedaran untuk hidup dalam suasana beribadah kepada Allah S.W.T., pasti akan meningkatkan produktiviti dan akan menghasilkan kerja-kerja bermutu untuk kesejahteraan hidup di dunia. Kerja-kerja ikhlas pula akan mendapat pahala yang menjadi bekalan untuk kesejahteraan hidupnya di akhirat.

Ikhlas adalah sifat terpuji yang dituntut oleh Islam. Untuk menentukan sesuatu pekerjaan yang baik itu dikerjakan dengan ikhlas, Islam mewajibkan pekerjaaan itu dilaksanakan dengan disertai niat. Rasulullah s.a.w bersabda: Maksudnya
“Sesungguhnya pekerjaaan itu dikira sah dengan niat dan setiap orang itu memperolehi pahala mengikut niat”. (Riwayat; Al-Bukhari dan Muslim)

Salah satu daripada ciri-ciri sifat yang tidak ikhlas ialah riak. Riak ialah kerja yang dilakukan semata-mata hendak menunjuk-nunjuk. Riak ialah syirik yang tersembunyi.

Antara ciri-ciri riak ialah bekerja dan melakukan sesuatu bertujuan untuk mengampu dan membodek ketua, supaya kelihatan rajin dan bersungguh-sungguh, ibarat gunting dalam lipatan.Justeru itu, keikhlasan adalah asas kepada kehidupan seseorang. Tidak mungkin adanya keyakinan dan keimanan tanpa ikhas. Mengaku beriman tanpa ikhlas adalah munafiq.
Justeru itu, keimanan dan keikhlasan dalam perkhidmatan yang bersepadu akan membina teras kehidupan bermasyarakat. Melalui teras inilah tertegaknya amalan beragama yang terkumpul dalam makna ibadat, yang menjadi tujuan manusia diciptakan oleh Allah.
Allah S.W.T berfirman; Maksudnya:
“ Dan mereka tidak diperintahkan melainkan untuk beribadah kepada Allah dengan penuh keikhlasan (yakni keyakinan yang ikhlas kepada Allah) dan lagi tetap teguh atas tauhid”.

Sayang Berpada-pada dan Benci Berpada-pada

Sabda Rasullullah yang bermaksud:
"Kasihkan kesayanganmu berpada-pada kerana boleh jadi satu hari nanti dia menjadi orang kebencianmu dan bencikan musuhmu berpada-pada kerana boleh jadi satu hari nanti dia mungkin menjadi orang kesayanganmu."
( Diriwayat oleh Tarmizi )

HURAIAN
Sikap seseorang Muslim terhadap kawan dan lawan, terhadap orang yang dikasihi dan orang yang dibenci harus berada dalam garisan yang sederhana : "Kasih berpada-pada benci berpada-pada" harus dijadikan garis panduan bagi emosi dan sentimennya yang sentiasa panas dan berkobar-kobar itu.

Sikap melampau sama ada kasih atau terlalu benci menimbulkan berbagai-bagai kerumitan dalam hidup seseorang yang mungkin berakhir dangan penyesalan yang tidak berguna atau meletakkan seseorang dalam keadaan serba salah.

Setiap Muslim harus melatihkan diri mengawal emosi dan sentimen dan jangan membiarkan dirinya dihanyut oleh arus yang kuat dan kencang. Sikap memboros kasih sering menimbulkankan nafsu-nafsu ekspoloitasi pada orang-orang yang dikasihi dan mungkin menimbulkan sikap abai dan tutup mata terhadap kesalahan-kesalahannya dan penyelewengannya yang dilakukan oleh orang-orang yang dikasihi yang akhirnya akan membinasakan mereka.

Sikap pemboros benci akan membuatkan seseorang itu hidup dalam prasangka-prasangka yang buruk terhadap orang yang dibenci dan menjadikannya buta dari memendang titik-titik kebaikan dan kabagusan yang ada pada orang yang dibenci itu. Sifat pembenci itu pastilah dilentur dan dipertundukkan kepada hukum-hukum Allah dan dipertimbangkan dengan waras agar kita bener-benar menjadi seorang yang adil dan bijaksana.

Kadang-kadang kebencikan yang membakar jiwa seseorang itu semata-mata disebabkan kerana ia memandang orang yang dibencinya itu dengan kaca mata kepentingannya, semakin banyak kepentingannya terancam semakin besar kebenciannya terhadap orang itu, tetapi walau bagaimanapun perasaan benci tidak dapat menyelesaikan masalah kerana satu-satunya jalan keluar ialah berusaha mencari persefahaman dan kerjasama dengan semangat ikhwan Islamiah.

Gaya Hidup Di Dunia Membayangi Ahli Syurga Atau Neraka

Sebagai seorang Muslim kita wajib mempercayai akan adanya syurga dan neraka yang mana setiap manusia akan mengalaminya. Orang yang beramal soleh akan ke Syurga manakala orang yang ingkar akan ke Neraka. Semua orang Islam yang beriman berkeyakinan sedemikian. Persoalan besar timbul ialah apakah kita menyedari bahawa gaya hidup dan tingkah laku kita sehari-hari itu termasuk sebagai persediaan sebagai ahli Syurga atau telah pun tergelincir sebagai ahli Neraka.

Gaya hidup dan tingkah laku manusia yang beruntung ialah hidup yang selalu diisi dengan amalan soleh iaitu melaksanakan hak-hak Allah, mengerjakan kebajikan dan melakukan perbuatan yang membawa kebaikan kepada masyarakat atau manusia umumnya.
Setiap kebajikan atau kejahatan yang dilakukan manusia akan dicatat, direkod dan dikumpulkan oleh Allah SWT dengan perantaraan malaikat-malaikatnya untuk diperhitungkan dan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.

Allah SWT menjadikan kita di dunia ini bukan dengan tujuan sia-sia atau secara main-main tetapi ada tanggungjawab tertentu. Kerana itulah manusia diberi akal fikiran supaya Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Maka adakah patut kamu menyangka bahawa kami hanya menciptakan kamu sia-sia sahaja? Dan kamu tidak akan dikembalikan kepada kami?.” Surah al-Mukminun : 115)

Dengan demikian kita sebagai manusia yang berakal hedaklah celik akal dan celik mata supaya kehidupan kita selari dengan ajaran Islam dan menjauhi daripada gaya hidup yang penuh dengan budaya maksiat. Manusia yang bebas daripada budaya maksiat akan membentuk musyarakah yang bertamadun dan berintegriti.

Orang yang baik bukan hanya sekadar melakukan kebaikan sahaja tetapi mestilah juga meninggalkan segala keburukan dan mencegahnya. Seseorang itu tidaklah dinamakan baik apabila ia pada sebelah pagi memberi sedekah kepada orang miskin tetapi apabila sebelah petang pula melakukan kejahatan seperti rasuah atau penyalahgunaan kuasa.
Sebagai renungan kita perhatikan Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Seorang lelaki telah melalui sebatang jalan dan ternampak satu ranting pokok yang berduri lalu dialihkannya ke tepi. Maka Allah melimpahkan kasihnya kepada lelaki tersebut dan diberikan keampunan keatasnya.” (Sahih al-Bukhari)

Menurut Hadis ini, walaupun menjauhkan sebatang duri daripada tengah jalan kelihatan mudah tetapi pekerjaan berkebajikan ini dianggap oleh Allah sebagai satu kebajikan yang besar kerana boleh mengurangkan kesusahan dan penderitaan manusia sejagat.

Janganlah berangan-angan ingin memasuki Syurga Allah SWT sedangkan usaha dan gaya hidup kita dipenuhi dengan budaya maksiat. Oleh kerana itu, setiap kita yang mengaku beriman dan ingin ke Syurga perlu membuktikannya dengan melakukan amal ibadah dan amal soleh yang bersungguh-sungguh. Sebagai persediaan menjadi manusia yang soleh maka kita perlu mengambil langkah berikut:

Pertama: Memperbanyakkan amal soleh dan menjauhi kejahatan,
Kedua : Memastikan kehidupan kita sehari-hari tidak bercanggah dengan hak-hak Allah dan hak-hak manusia,
Ketiga : Memperbanyakkan kebajikan kepada manusia seperti membantu mengurangkan kesusahan dan mempercepatkan urusan yang melibatkan kepentingan manusia, dan
Keempat: Memastikan dalam kehidupan seharian tidak mencampur adukkan perkara yang halal dan perkara yang haram.

Firman Allah di dalam surah al-Hasyr ayat 20:
Bermaksud: “Tidaklah sama ahli Neraka dan ahli Syurga. Ahli Syurga merekalah orang-orang yang beroleh kemenangan.”

Bersyukur Tanda Kecemerlangan Ummah

Kita perlu mempertingkatkan syukur kepada Allah SWT, kerana dengan bersyukur akan memperteguhkan lagi keimanan kita kepada Allah SWT. Kita yang hidup dalam negara yang dikurniakan nikmat keamanan yang berterusan serta kemewahan, sepatutnya menambahkan lagi syukur kepada Allah SWT, di samping memperteguhkan lagi ketaatan serta pengabdian diri terhadap-Nya. Ketahuilah, sesungguhnya seseorang hamba itu tidak diakui bersyukur kepada Allah, melainkan jika ia menggunakan nikmat-nikmat Allah itu untuk kepentingan diri sendiri dan masyarakat. Menurut Imam Al-Junaid : “Syukur ialah seseorang yang tidak menggunakan nikmat Allah untuk melakukan maksiat kepada-Nya”. Ertinya tanda bersyukur ialah menggunakan segala nikmat Allah untuk melakukan ketaatan dan memanfaatkan nikmat tersebut ke arah kebajikan, bukan menyalurkannya kepada maksiat atau kejahatan. Nikmat yang Allah Taala anugerahkan kepada manusia bolehlah dibahagikan kepada dua iaitu :-

Pertama : “Nikmat duniawi” iaitu nikmat untuk meneruskan kehidupan di dunia seperti makanan, minuman, kekayaan, keamanan, kesihatan, persaudaraan dan sebagainya.
Kedua : “Nikmat Ukhrawi” iaitu nikmat Islam dan iman, nikmat yang paling berharga serta tidak ternilai kerana ia bukan setakat menjamin kesejahteraan hidup di dunia tetapi berkekalan hingga ke akhirat.

Persoalannya, adakah kita benar-benar bersyukur dengan kedua-dua bentuk nikmat yang dikurniakan Allah ini? Apakah kita benar-benar mensyukuri nikmat kurniaan yang tidak terhitung nilainya? kita tidak seharusnya merasa selesa dan berpada dengan apa yang telah kita usahakan selama ini. Malah kita perlu merasa bimbang dan takut, setelah sekian banyak nikmat rezeki kurniaan Allah yang kita gunakan. Kita bimbang sekiranya kita tidak tergolong di kalangan hamba-hamba yang bersyukur. Allah SWT telah memberi amaran keras terhadap mereka yang tidak tahu bersyukur atau tidak mahu bersyukur, dengan amaran azab di hari akhirat. Sebaliknya, hamba yang bersyukur dan menghargai nikmat Allah, akan digandakan ganjaran nikmat dan pahala. Firman Allah di dalam surah Ibrahim ayat 7 :

Maksudnya : “Dan (ingatlah) tatkala Tuhan kamu memberitahu : “Demi sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya aku tambahi nikmat-Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur ingkar, sesungguhnya azab-Ku amatlah keras.”

Sesungguhnya nikmat yang dikurniakan Allah kepada manusia tidak terhitung banyaknya, sehingga menjadikan kehidupan ini serba lengkap dan sempurna. tidak ada yang lebih besar nilainya daripada nikmat yang dikurniakan Allah kepada manusia sesudah iman, melainkan kesihatan. Apabila badan dan akal fikiran seseorang mukmin sihat, maka kehidupan mereka akan bahagia dan sejahtera. Mereka akan bekerja dan berusaha dengan penuh semangat, lebih berdaya saing serta hasilnya akan terus meningkat. Pembinaan syakhsiah, pengukuhan kualiti insan dan kerohanian, perlu ditunjangi dengan akidah dan keimanan kepada Allah SWT. Selain daripada keimanan yang boleh menjadi benteng kukuh, pembinaan sahsiah atau peribadi seseorang itu, perlu dihiasi dengan akhlak atau sifat-sifat terpuji seperti sabar, redha, merendah diri, qanaah dan sebagainya.

Perlu diingatkan, sesungguhnya seseorang hamba yang telah menggunakan nikmat-nikmat Allah pada jalan yang tidak diredhai Allah dengan melakukan maksiat atau kejahatan, mereka sebenarnya tidak bersyukur akan nikmat-nikmat Allah, atau dengan kata lain jadilah mereka hamba yang kufur. Oleh itu jelaslah, bahawa syukur dan iman itu adalah dua perkara yang tidak boleh dipisahkan. Di samping bersyukur kepada Allah, kita juga diingatkan agar berterima kasih sesama insan kerana kita tidak akan dapat hidup di dunia ini tanpa Bantu-membantu antara satu sama lain sepertimana yang ditegaskan oleh Ibnu Khaldun dalam kitabnya, Muqaddimah : " اْلإِنْسَانُ مَدَنِيٌّ بِالطَّبَعِ " maknanya : “Manusia saling perlu memerlukan, tidak sempurna hidup bersendirian”. Sebab itu, di antara kita sesama manusia perlu saling berterima kasih dan saling mengenang budi. Berhubung perkara ini Rasulullah SAW bersabda

:- Maksudnya : “Tidak bersyukur seseorang itu kepada Allah, selagimana ia tidak bersyukur (atau berterima kasih) kepada sesama manusia.” (Sahih Ibnu Hibban)
Syukur adalah salah satu amalan mulia dan perlu ditanamkan di dalam jiwa kita, kerana dengan nilai syukur inilah, kita dapat membentuk manusia yang kenal diri, mengenang budi dan menghargai setiap nikmat yang diperolehi.
(Surah Al-A'raf : 10)

Maksudnya : “Dan sesungguhnya Kami telah menetapkan kamu (dan memberi kuasa) di bumi, dan Kami jadikan untuk kamu padanya (berbagai jalan) penghidupan (supaya kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur.”