Friday, May 30, 2008

Tuntutan Pendidikan Sepanjang Hayat

Wahyu pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW ialah ayat 1 hingga 5 surah al-‘alaq. Perintah iqra’ yang bermaksud ‘bacalah’ kepada Nabi S.A.W, adalah isyarat betapa Islam memberikan perhatian yang cukup besar tentang kepentingan ilmu dalam menentukan darjat manusia.

Firman Allah dalam surah al-Mujadalah ayat 11:

Maksudnya: “Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat.”.

Ketika menggesa umat Islam mengambil perhatian mengenai peringatan Allah itu, Rasulullah SAW bersabda:

" " طَلَبُ الْعلْمِ فَرِيْضَةٌ عَلى كُلِّ مُسْلِمٍ. "
Maksudnya: "Menuntut ilmu itu adalah wajib ke atas setiap orang Islam"
( Riwayat Imam Ibnu Majah)

Pendidikan sebenarnya bermula segera setelah anak lahir dan akan berterusan sehingga manusia meninggal dunia. Pada dasarnya sebahagian besar masa anak-anak dihabiskan bersama dengan ibubapa. Ibubapa atau keluarga merupakan lingkungan pertama dan utama bagi proses pembelajaran seorang individu sekaligus meletakkan dasar pembentukan keperibadian anak. Pendidikan anak diperolehi terutama melalui interaksi antara ibubapa dan anak. Ketika berinteraksi dengan anaknya, ibubapa akan menunjukkn sikap dan perlakuan tertentu terhadap anak-anaknya. Oleh itu bagi menentukan kesinambungan proses pembelajaran antara sekolah dengan pembelajaran di rumah, maka ibubapa perlu dari masa ke semasa menyemak dan menyiasat kemajuan pendidikan dan disiplin anak-anak.

Apa yang nyata, Islam memberi pengiktirafan yang besar terhadap peranan guru-guru kerana guru memberi sumbangan yang besar dalam penyebaran ilmu kepada setiap jenerasi. Rasululah menyifatkan mereka yang menyebarkan ilmu itu adalah orang yang mewarisi tugas-tugas kenabian. Rasulullah bersabda:

"" الْعُلَمَاءُ وَرَثَةُ اْلأَنْبِيَاءِ. "

Maksudnya: ”Para ulama itu adalah pewaris para Nabi.”
(Diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Abu Daud dan Tarmizi)

Pada hari ini kita melihat orang yang mengejar ilmu pengetahuan semakin bertambah hingga bilangannya amat mengejutkan terutama sekali muda mudi kita dan pelajar-pelajar dalam pelbagai peringkat.

Persoalan besar timbul ialah mengapa terdapat pertambahan orang mengejar ilmu dari masa ke semasa?. Allah SWT menciptakan alam dengan seluruh isinya penuh dengan rahsia yang perlu dibongkarkan demi kemanfaatan manusia. Lantaran itulah maka Allah menjadikan manusia yang dibekalkan akal menjadi khalifah di muka bumi ini. Hal ini bertepatan dengan firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 30 :

Ertinya: “Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat, sesungguhnya Aku hendak menjadikan Khalifah di bumi ini”.

Sesungguhnya Allah S.W.T. menciptakan bumi ini untuk manusia, untuk ditadbir dengan sebaik-baiknya sesuai dengan penciptaan manusia sebagai khalifah. Sebagai khalifah, kita bertanggungjawab dan berkewajipan menguruskan muka bumi untuk kebaikan kita sendiri, manusia, haiwan, alam sekitar dan planet-planet lain yang berkaitan. Ingatlah! Mentadbir muka bumi ini bukanlah perkara yang mudah. Ia memerlukan penguasaan ilmu pengetahuan. Menguruskan alam merupakan amanah berat yang harus dipikul dan kelak akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah S.W.T.

Di samping itu manusia adalah makhluk yang tumbuh dan berkembang. Ia ingin mencapai satu tahap kehidupan yang selesa. Selama manusia berusaha untuk meningkatkan taraf kehidupannya, menambah ilmunya, memperhebatkan peribadinya, prestasi kerjanya, penampilannya, maka selama itulah proses pendidikan berjalan terus. Ini bermakna proses pendidikan dalam kehidupan manusia tidak terhad pada zaman persekolahan dan universiti sahaja malah berlaku pada sepanjang hayat. Sebab itu kita melihat ramai tokoh-tokoh politik, pemimpin kerajaan, ulama dan mereka yang telah berjaya dalam kerjaya terus membaca dan menjadi ulat buku bagi memenuhi keperluan tuntutan agama, organisasi, masyarakat dan negara.

Maksudnya: "Apabila matinya anak Adam maka terputuslah segala amalan melainkan tiga perkara iaitu sedekah jariah yang ditinggalkannya atau ilmu yang dimanfaatkan atau anak yang soleh yang mendoakannnya".
(Hadis riwayat Muslim)

Hadis ini memberi peringatan besar kepada umat Islam khususnya ibubapa bahawa membekalkan atau mewariskan ilmu pengetahuan menjadi saham terpenting dan amat bernilai kepada anak-anak untuk meneruskan survival mereka pada masa akan datang di dunia global yang penuh mencabar.

Marilah sama-sama kita berusaha menambah ilmu pengetahuan dalam segala bidang. Jadikanlah ia sebagai warisan generasi kita. Berbanggalah kita dengan menjadikan ilmu sebagai tuntutan sepanjang hayat. Jadikan ia sebagai matlamat individu, keluarga, masyarakat dan negara. Dengan berilmu insyaAllah kita menjadi umat yang cemerlang di mata dunia dan juga di akhirat nanti.

Wednesday, May 28, 2008

Ibadah Solat Menjana Kecemerlangan Ummah

Islam telah menetapkan bahawa solat lima waktu adalah teras ibadah yang paling utama. Ia menjadi alat untuk memperkukuhkan akhlak dan benteng pencegah kemungkaran. Berdasarkan besar peranan solat kepada umat Islam, maka Islam meletakkan solat sebagai tiang agama dan merupakan amal ibadah yang pertama sekali dihisab oleh Allah SWT di hari kiamat kelak.
Ini selaras dengan sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah:
Maksudnya: “Sesungguhnya amalan yang pertama dihitung pada hari kiamat ke atas seseorang Islam itu ialah solat fardhunya. Jika didapati sempurna solatnya nescaya berbahagia dan beruntunglah dia. Sebaliknya jika tidak sempurna (dengan baik dan khyusuk), akan menyesal dan rugilah dia. Jika seseorang itu didapati ada kekurangan daripada sesuatu amalan wajibnya, maka Allah SWT memerintahkan kepada para malaikat ‘Periksalah oleh kamu semua, adakah hamba-Ku itu mempunyai amalan solat sunat yang lain; sekiranya ada amalan tersebut dapat menampung kekurangan amalan wajibnya. Kemudian cara menghitung amalan-amalan lain juga sama dengan kaedah menghitung amalan solat ini.”(Sunan Tirmizi)Bagaimanakah solat dapat mengukuhkan akhlak dan mencegah diri kita daripada terjebak dengan perkara-perkara keji dan mungkar?.

Pada dasarnya pelaksanaan solat melibatkan dua aspek iaitu pergerakan fizikal (Badaniah) dan pergerakan dalaman (Rohaniah). Pergerakan Badaniah ialah setiap pergerakan zahir anggota badan seperti takbiratul ihram, ruku', ’itidal, sujud, bacaan dan sebagainya. Manakala gerakan Rohaniah ialah pemusatan pemikiran dan perasaan kepada Allah SWT sehingga melahirkan khusyuk, tawadhu' dan ikhlas semasa menunaikan solat. Oleh itu solat yang mampu mengukuhkan akhlak dan menjadi benteng kemungkaran ialah solat yang sempurna pergerakan fizikal dan pergerakan rohaniahnya. Hakikatnya kedua-dua aspek ini saling berhubung antara satu sama lain dan menjadi penentu kejayaan dan penghalang daripada melakukan kemungkaran dalam kehidupan.Apa yang nyata, kesan daripada solat yang sempurna akan menjadikan kita sentiasa mengingati kebesaran Allah SWT, taat dan patuh kepada segala perintah Allah SWT, berakhlak mulia, mencintai dan gemar melakukan kebajikan serta benci akan maksiat dan kemungkaran.
Yakinlah bahawa solat itu sangat besar fungsinya dalam memandu kehidupan kita ke jalan yang diredhai Allah SWT.Firman Allah SWT dalam surah al-Ankabut ayat 45 i:
Maksudnya: ”Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahikan kepadamu dari Al-Qur'an, dan dirikanlah solat (dengan tekun); sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan. "

Bagaimanapun apa yang menghairankan kita ialah terdapat juga segelintir masyarakat yang melakukan solat, tetapi selepas solat mereka terlibat dengan pelbagai perbuatan maksiat dan kemungkaran seperti pecah amanah, rasuah, berpecah belah, mengumpat, berhasad dengki, bakhil, tamak dan pelbagai lagi sifat negatif yang lain. Golongan yang sebegini amat dimurkai Allah SWT sepertimana firman-Nya dalam surah al-Muddathir ayat 42-43 berbunyi:Maksudnya: “Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar?. Orang yang bersalah itu menjawab: Kami tidak termasuk orang yang mengerjakan solat.”Ilmu sains telah mengesahkan bahawa solat memberi kebaikan kepada manusia. Di mana sewaktu proses pembakaran tenaga, akan berlaku ketidakseimbangan dalam tubuh kita yang menyebabkan kita letih dan lesu.
Justeru solat adalah salah satu kaedah bagi menyeimbangkannya ke tahap normal. Keistimewaan solat berjemaah pula boleh membantu menstabilkan cas positif dan cas negatif melalui kesan sentuhan bahu ke bahu di kalangan ahli jemaah yang berada di dalam saf.Pandangan Imam al-Ghazali tentang kaedah solat yang sempurna, iaitu:
Pertama : Sentiasa memelihara solat lima waktu tanpa sebarang alasan untuk meninggalkannya melainkan atas sebab-sebab uzur syarie.
Kedua : Sentiasa memperkemas bacaan-bacaan dalam solat dan memahami maknanya bagi memperolehi khusyuk.
Ketiga : Sentiasa mendidik dan memastikan ahli keluarga mengerjakan solat secara berjamaah.
Keempat : Sentiasa menghadirkan kebesaran Allah, seolah-olah kita sedang berhadapan dengan Allah SWT.
Kelima : Sentiasa malu kepada Allah SWT, kerana kelemahan dalam beribadah.
Keenam : Sentiasa mengharapkan rahmat Allah, serta mengharapkan solat yang dilakukan diterima oleh Allah SWT.

Ikhlas

Perasaan ikhlas merupakan satu nilai yang melambangkan kesucian dan kebersihan hati seseorang. Nilai seperti ini sangat penting bagi seseorang dalam menjalankan amanah, tanggungjawab dan sebagainya kerana ia boleh mewujudkan ciri-ciri yang mulia dalam sesebuah masyarakat.

Keikhlasan adalah unsur penting bagi mengukur sesuatu kebaikan. Keikhlasan adalah membuat kebaikan semata-mata kerana kebaikan itu sendiri dan tidak mengharapkan balasan, selain daripada balasan Allah S.W.T. Kebaikan yang dilakukan itu mestilah bersih daripada segala tujuan yang jahat dan mungkar.

Orang yang ikhlas akan melaksanakan tugasnya sebagi suatu ibadah. Ia menjalankan tugas itu, bukan semata-mata kerana upah, tetapi kerana kewajipan untuk melaksanakan tanggungjawab dengan sempurna dan memuaskan.

Bekerja dengan ikhlas dan didorong oleh kesedaran untuk hidup dalam suasana beribadah kepada Allah S.W.T., pasti akan meningkatkan produktiviti dan akan menghasilkan kerja-kerja bermutu untuk kesejahteraan hidup di dunia. Kerja-kerja ikhlas pula akan mendapat pahala yang menjadi bekalan untuk kesejahteraan hidupnya di akhirat.

Ikhlas adalah sifat terpuji yang dituntut oleh Islam. Untuk menentukan sesuatu pekerjaan yang baik itu dikerjakan dengan ikhlas, Islam mewajibkan pekerjaaan itu dilaksanakan dengan disertai niat. Rasulullah s.a.w bersabda: Maksudnya
“Sesungguhnya pekerjaaan itu dikira sah dengan niat dan setiap orang itu memperolehi pahala mengikut niat”. (Riwayat; Al-Bukhari dan Muslim)

Salah satu daripada ciri-ciri sifat yang tidak ikhlas ialah riak. Riak ialah kerja yang dilakukan semata-mata hendak menunjuk-nunjuk. Riak ialah syirik yang tersembunyi.

Antara ciri-ciri riak ialah bekerja dan melakukan sesuatu bertujuan untuk mengampu dan membodek ketua, supaya kelihatan rajin dan bersungguh-sungguh, ibarat gunting dalam lipatan.Justeru itu, keikhlasan adalah asas kepada kehidupan seseorang. Tidak mungkin adanya keyakinan dan keimanan tanpa ikhas. Mengaku beriman tanpa ikhlas adalah munafiq.
Justeru itu, keimanan dan keikhlasan dalam perkhidmatan yang bersepadu akan membina teras kehidupan bermasyarakat. Melalui teras inilah tertegaknya amalan beragama yang terkumpul dalam makna ibadat, yang menjadi tujuan manusia diciptakan oleh Allah.
Allah S.W.T berfirman; Maksudnya:
“ Dan mereka tidak diperintahkan melainkan untuk beribadah kepada Allah dengan penuh keikhlasan (yakni keyakinan yang ikhlas kepada Allah) dan lagi tetap teguh atas tauhid”.

Sayang Berpada-pada dan Benci Berpada-pada

Sabda Rasullullah yang bermaksud:
"Kasihkan kesayanganmu berpada-pada kerana boleh jadi satu hari nanti dia menjadi orang kebencianmu dan bencikan musuhmu berpada-pada kerana boleh jadi satu hari nanti dia mungkin menjadi orang kesayanganmu."
( Diriwayat oleh Tarmizi )

HURAIAN
Sikap seseorang Muslim terhadap kawan dan lawan, terhadap orang yang dikasihi dan orang yang dibenci harus berada dalam garisan yang sederhana : "Kasih berpada-pada benci berpada-pada" harus dijadikan garis panduan bagi emosi dan sentimennya yang sentiasa panas dan berkobar-kobar itu.

Sikap melampau sama ada kasih atau terlalu benci menimbulkan berbagai-bagai kerumitan dalam hidup seseorang yang mungkin berakhir dangan penyesalan yang tidak berguna atau meletakkan seseorang dalam keadaan serba salah.

Setiap Muslim harus melatihkan diri mengawal emosi dan sentimen dan jangan membiarkan dirinya dihanyut oleh arus yang kuat dan kencang. Sikap memboros kasih sering menimbulkankan nafsu-nafsu ekspoloitasi pada orang-orang yang dikasihi dan mungkin menimbulkan sikap abai dan tutup mata terhadap kesalahan-kesalahannya dan penyelewengannya yang dilakukan oleh orang-orang yang dikasihi yang akhirnya akan membinasakan mereka.

Sikap pemboros benci akan membuatkan seseorang itu hidup dalam prasangka-prasangka yang buruk terhadap orang yang dibenci dan menjadikannya buta dari memendang titik-titik kebaikan dan kabagusan yang ada pada orang yang dibenci itu. Sifat pembenci itu pastilah dilentur dan dipertundukkan kepada hukum-hukum Allah dan dipertimbangkan dengan waras agar kita bener-benar menjadi seorang yang adil dan bijaksana.

Kadang-kadang kebencikan yang membakar jiwa seseorang itu semata-mata disebabkan kerana ia memandang orang yang dibencinya itu dengan kaca mata kepentingannya, semakin banyak kepentingannya terancam semakin besar kebenciannya terhadap orang itu, tetapi walau bagaimanapun perasaan benci tidak dapat menyelesaikan masalah kerana satu-satunya jalan keluar ialah berusaha mencari persefahaman dan kerjasama dengan semangat ikhwan Islamiah.

Gaya Hidup Di Dunia Membayangi Ahli Syurga Atau Neraka

Sebagai seorang Muslim kita wajib mempercayai akan adanya syurga dan neraka yang mana setiap manusia akan mengalaminya. Orang yang beramal soleh akan ke Syurga manakala orang yang ingkar akan ke Neraka. Semua orang Islam yang beriman berkeyakinan sedemikian. Persoalan besar timbul ialah apakah kita menyedari bahawa gaya hidup dan tingkah laku kita sehari-hari itu termasuk sebagai persediaan sebagai ahli Syurga atau telah pun tergelincir sebagai ahli Neraka.

Gaya hidup dan tingkah laku manusia yang beruntung ialah hidup yang selalu diisi dengan amalan soleh iaitu melaksanakan hak-hak Allah, mengerjakan kebajikan dan melakukan perbuatan yang membawa kebaikan kepada masyarakat atau manusia umumnya.
Setiap kebajikan atau kejahatan yang dilakukan manusia akan dicatat, direkod dan dikumpulkan oleh Allah SWT dengan perantaraan malaikat-malaikatnya untuk diperhitungkan dan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.

Allah SWT menjadikan kita di dunia ini bukan dengan tujuan sia-sia atau secara main-main tetapi ada tanggungjawab tertentu. Kerana itulah manusia diberi akal fikiran supaya Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Maka adakah patut kamu menyangka bahawa kami hanya menciptakan kamu sia-sia sahaja? Dan kamu tidak akan dikembalikan kepada kami?.” Surah al-Mukminun : 115)

Dengan demikian kita sebagai manusia yang berakal hedaklah celik akal dan celik mata supaya kehidupan kita selari dengan ajaran Islam dan menjauhi daripada gaya hidup yang penuh dengan budaya maksiat. Manusia yang bebas daripada budaya maksiat akan membentuk musyarakah yang bertamadun dan berintegriti.

Orang yang baik bukan hanya sekadar melakukan kebaikan sahaja tetapi mestilah juga meninggalkan segala keburukan dan mencegahnya. Seseorang itu tidaklah dinamakan baik apabila ia pada sebelah pagi memberi sedekah kepada orang miskin tetapi apabila sebelah petang pula melakukan kejahatan seperti rasuah atau penyalahgunaan kuasa.
Sebagai renungan kita perhatikan Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Seorang lelaki telah melalui sebatang jalan dan ternampak satu ranting pokok yang berduri lalu dialihkannya ke tepi. Maka Allah melimpahkan kasihnya kepada lelaki tersebut dan diberikan keampunan keatasnya.” (Sahih al-Bukhari)

Menurut Hadis ini, walaupun menjauhkan sebatang duri daripada tengah jalan kelihatan mudah tetapi pekerjaan berkebajikan ini dianggap oleh Allah sebagai satu kebajikan yang besar kerana boleh mengurangkan kesusahan dan penderitaan manusia sejagat.

Janganlah berangan-angan ingin memasuki Syurga Allah SWT sedangkan usaha dan gaya hidup kita dipenuhi dengan budaya maksiat. Oleh kerana itu, setiap kita yang mengaku beriman dan ingin ke Syurga perlu membuktikannya dengan melakukan amal ibadah dan amal soleh yang bersungguh-sungguh. Sebagai persediaan menjadi manusia yang soleh maka kita perlu mengambil langkah berikut:

Pertama: Memperbanyakkan amal soleh dan menjauhi kejahatan,
Kedua : Memastikan kehidupan kita sehari-hari tidak bercanggah dengan hak-hak Allah dan hak-hak manusia,
Ketiga : Memperbanyakkan kebajikan kepada manusia seperti membantu mengurangkan kesusahan dan mempercepatkan urusan yang melibatkan kepentingan manusia, dan
Keempat: Memastikan dalam kehidupan seharian tidak mencampur adukkan perkara yang halal dan perkara yang haram.

Firman Allah di dalam surah al-Hasyr ayat 20:
Bermaksud: “Tidaklah sama ahli Neraka dan ahli Syurga. Ahli Syurga merekalah orang-orang yang beroleh kemenangan.”

Bersyukur Tanda Kecemerlangan Ummah

Kita perlu mempertingkatkan syukur kepada Allah SWT, kerana dengan bersyukur akan memperteguhkan lagi keimanan kita kepada Allah SWT. Kita yang hidup dalam negara yang dikurniakan nikmat keamanan yang berterusan serta kemewahan, sepatutnya menambahkan lagi syukur kepada Allah SWT, di samping memperteguhkan lagi ketaatan serta pengabdian diri terhadap-Nya. Ketahuilah, sesungguhnya seseorang hamba itu tidak diakui bersyukur kepada Allah, melainkan jika ia menggunakan nikmat-nikmat Allah itu untuk kepentingan diri sendiri dan masyarakat. Menurut Imam Al-Junaid : “Syukur ialah seseorang yang tidak menggunakan nikmat Allah untuk melakukan maksiat kepada-Nya”. Ertinya tanda bersyukur ialah menggunakan segala nikmat Allah untuk melakukan ketaatan dan memanfaatkan nikmat tersebut ke arah kebajikan, bukan menyalurkannya kepada maksiat atau kejahatan. Nikmat yang Allah Taala anugerahkan kepada manusia bolehlah dibahagikan kepada dua iaitu :-

Pertama : “Nikmat duniawi” iaitu nikmat untuk meneruskan kehidupan di dunia seperti makanan, minuman, kekayaan, keamanan, kesihatan, persaudaraan dan sebagainya.
Kedua : “Nikmat Ukhrawi” iaitu nikmat Islam dan iman, nikmat yang paling berharga serta tidak ternilai kerana ia bukan setakat menjamin kesejahteraan hidup di dunia tetapi berkekalan hingga ke akhirat.

Persoalannya, adakah kita benar-benar bersyukur dengan kedua-dua bentuk nikmat yang dikurniakan Allah ini? Apakah kita benar-benar mensyukuri nikmat kurniaan yang tidak terhitung nilainya? kita tidak seharusnya merasa selesa dan berpada dengan apa yang telah kita usahakan selama ini. Malah kita perlu merasa bimbang dan takut, setelah sekian banyak nikmat rezeki kurniaan Allah yang kita gunakan. Kita bimbang sekiranya kita tidak tergolong di kalangan hamba-hamba yang bersyukur. Allah SWT telah memberi amaran keras terhadap mereka yang tidak tahu bersyukur atau tidak mahu bersyukur, dengan amaran azab di hari akhirat. Sebaliknya, hamba yang bersyukur dan menghargai nikmat Allah, akan digandakan ganjaran nikmat dan pahala. Firman Allah di dalam surah Ibrahim ayat 7 :

Maksudnya : “Dan (ingatlah) tatkala Tuhan kamu memberitahu : “Demi sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya aku tambahi nikmat-Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur ingkar, sesungguhnya azab-Ku amatlah keras.”

Sesungguhnya nikmat yang dikurniakan Allah kepada manusia tidak terhitung banyaknya, sehingga menjadikan kehidupan ini serba lengkap dan sempurna. tidak ada yang lebih besar nilainya daripada nikmat yang dikurniakan Allah kepada manusia sesudah iman, melainkan kesihatan. Apabila badan dan akal fikiran seseorang mukmin sihat, maka kehidupan mereka akan bahagia dan sejahtera. Mereka akan bekerja dan berusaha dengan penuh semangat, lebih berdaya saing serta hasilnya akan terus meningkat. Pembinaan syakhsiah, pengukuhan kualiti insan dan kerohanian, perlu ditunjangi dengan akidah dan keimanan kepada Allah SWT. Selain daripada keimanan yang boleh menjadi benteng kukuh, pembinaan sahsiah atau peribadi seseorang itu, perlu dihiasi dengan akhlak atau sifat-sifat terpuji seperti sabar, redha, merendah diri, qanaah dan sebagainya.

Perlu diingatkan, sesungguhnya seseorang hamba yang telah menggunakan nikmat-nikmat Allah pada jalan yang tidak diredhai Allah dengan melakukan maksiat atau kejahatan, mereka sebenarnya tidak bersyukur akan nikmat-nikmat Allah, atau dengan kata lain jadilah mereka hamba yang kufur. Oleh itu jelaslah, bahawa syukur dan iman itu adalah dua perkara yang tidak boleh dipisahkan. Di samping bersyukur kepada Allah, kita juga diingatkan agar berterima kasih sesama insan kerana kita tidak akan dapat hidup di dunia ini tanpa Bantu-membantu antara satu sama lain sepertimana yang ditegaskan oleh Ibnu Khaldun dalam kitabnya, Muqaddimah : " اْلإِنْسَانُ مَدَنِيٌّ بِالطَّبَعِ " maknanya : “Manusia saling perlu memerlukan, tidak sempurna hidup bersendirian”. Sebab itu, di antara kita sesama manusia perlu saling berterima kasih dan saling mengenang budi. Berhubung perkara ini Rasulullah SAW bersabda

:- Maksudnya : “Tidak bersyukur seseorang itu kepada Allah, selagimana ia tidak bersyukur (atau berterima kasih) kepada sesama manusia.” (Sahih Ibnu Hibban)
Syukur adalah salah satu amalan mulia dan perlu ditanamkan di dalam jiwa kita, kerana dengan nilai syukur inilah, kita dapat membentuk manusia yang kenal diri, mengenang budi dan menghargai setiap nikmat yang diperolehi.
(Surah Al-A'raf : 10)

Maksudnya : “Dan sesungguhnya Kami telah menetapkan kamu (dan memberi kuasa) di bumi, dan Kami jadikan untuk kamu padanya (berbagai jalan) penghidupan (supaya kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur.”