Wednesday, May 28, 2008

Ibadah Solat Menjana Kecemerlangan Ummah

Islam telah menetapkan bahawa solat lima waktu adalah teras ibadah yang paling utama. Ia menjadi alat untuk memperkukuhkan akhlak dan benteng pencegah kemungkaran. Berdasarkan besar peranan solat kepada umat Islam, maka Islam meletakkan solat sebagai tiang agama dan merupakan amal ibadah yang pertama sekali dihisab oleh Allah SWT di hari kiamat kelak.
Ini selaras dengan sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah:
Maksudnya: “Sesungguhnya amalan yang pertama dihitung pada hari kiamat ke atas seseorang Islam itu ialah solat fardhunya. Jika didapati sempurna solatnya nescaya berbahagia dan beruntunglah dia. Sebaliknya jika tidak sempurna (dengan baik dan khyusuk), akan menyesal dan rugilah dia. Jika seseorang itu didapati ada kekurangan daripada sesuatu amalan wajibnya, maka Allah SWT memerintahkan kepada para malaikat ‘Periksalah oleh kamu semua, adakah hamba-Ku itu mempunyai amalan solat sunat yang lain; sekiranya ada amalan tersebut dapat menampung kekurangan amalan wajibnya. Kemudian cara menghitung amalan-amalan lain juga sama dengan kaedah menghitung amalan solat ini.”(Sunan Tirmizi)Bagaimanakah solat dapat mengukuhkan akhlak dan mencegah diri kita daripada terjebak dengan perkara-perkara keji dan mungkar?.

Pada dasarnya pelaksanaan solat melibatkan dua aspek iaitu pergerakan fizikal (Badaniah) dan pergerakan dalaman (Rohaniah). Pergerakan Badaniah ialah setiap pergerakan zahir anggota badan seperti takbiratul ihram, ruku', ’itidal, sujud, bacaan dan sebagainya. Manakala gerakan Rohaniah ialah pemusatan pemikiran dan perasaan kepada Allah SWT sehingga melahirkan khusyuk, tawadhu' dan ikhlas semasa menunaikan solat. Oleh itu solat yang mampu mengukuhkan akhlak dan menjadi benteng kemungkaran ialah solat yang sempurna pergerakan fizikal dan pergerakan rohaniahnya. Hakikatnya kedua-dua aspek ini saling berhubung antara satu sama lain dan menjadi penentu kejayaan dan penghalang daripada melakukan kemungkaran dalam kehidupan.Apa yang nyata, kesan daripada solat yang sempurna akan menjadikan kita sentiasa mengingati kebesaran Allah SWT, taat dan patuh kepada segala perintah Allah SWT, berakhlak mulia, mencintai dan gemar melakukan kebajikan serta benci akan maksiat dan kemungkaran.
Yakinlah bahawa solat itu sangat besar fungsinya dalam memandu kehidupan kita ke jalan yang diredhai Allah SWT.Firman Allah SWT dalam surah al-Ankabut ayat 45 i:
Maksudnya: ”Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahikan kepadamu dari Al-Qur'an, dan dirikanlah solat (dengan tekun); sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan. "

Bagaimanapun apa yang menghairankan kita ialah terdapat juga segelintir masyarakat yang melakukan solat, tetapi selepas solat mereka terlibat dengan pelbagai perbuatan maksiat dan kemungkaran seperti pecah amanah, rasuah, berpecah belah, mengumpat, berhasad dengki, bakhil, tamak dan pelbagai lagi sifat negatif yang lain. Golongan yang sebegini amat dimurkai Allah SWT sepertimana firman-Nya dalam surah al-Muddathir ayat 42-43 berbunyi:Maksudnya: “Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar?. Orang yang bersalah itu menjawab: Kami tidak termasuk orang yang mengerjakan solat.”Ilmu sains telah mengesahkan bahawa solat memberi kebaikan kepada manusia. Di mana sewaktu proses pembakaran tenaga, akan berlaku ketidakseimbangan dalam tubuh kita yang menyebabkan kita letih dan lesu.
Justeru solat adalah salah satu kaedah bagi menyeimbangkannya ke tahap normal. Keistimewaan solat berjemaah pula boleh membantu menstabilkan cas positif dan cas negatif melalui kesan sentuhan bahu ke bahu di kalangan ahli jemaah yang berada di dalam saf.Pandangan Imam al-Ghazali tentang kaedah solat yang sempurna, iaitu:
Pertama : Sentiasa memelihara solat lima waktu tanpa sebarang alasan untuk meninggalkannya melainkan atas sebab-sebab uzur syarie.
Kedua : Sentiasa memperkemas bacaan-bacaan dalam solat dan memahami maknanya bagi memperolehi khusyuk.
Ketiga : Sentiasa mendidik dan memastikan ahli keluarga mengerjakan solat secara berjamaah.
Keempat : Sentiasa menghadirkan kebesaran Allah, seolah-olah kita sedang berhadapan dengan Allah SWT.
Kelima : Sentiasa malu kepada Allah SWT, kerana kelemahan dalam beribadah.
Keenam : Sentiasa mengharapkan rahmat Allah, serta mengharapkan solat yang dilakukan diterima oleh Allah SWT.

No comments: