Tujuh abad yang lalu Jalaluddin Rumi penyair sufi besar dalam karyanya yang teragung 'Matsnawi' mengungkapkan, "Jika tiada cinta, dunia akan membeku". Cinta baginya adalah penaka lautan luas dan dalam, seluas dan sedalam daya jelajah nurani manusia itu sendiri. Cintalah yang semestinya menjadi atau kunci utama bagi hubungan antara manusia, antara kebudayaan dan antara sistem hidup yang berbeza.
Jelas sekali hari ini akibat corak hubungan manusia yang terlepas dari panduan cinta dan pertimbangan yang rasional telah membawa manusia kepada kebinasaan dan kehancuran. Contoh yang jelas peperangan yang berlaku sesama manusia adalah manifestasi dari iklim hati yang membeku, kecuali perang untuk membela diri dan membela keadilan yang hakiki.
Cinta adalah akar dari segala kebaikan dan keutamaan hidup manusia. Justeru itu Rasulullah s.a.w. dalam satu hadithnya memberi panduan yang bermaksud:
'Tidaklah beriman seorang di antara kamu sehingga ia mencintai saudaranya sebagaimana ia mencintai dirinya sendiri.'
Tidak dinafikan bahawa peradaban yang menguasai arus globalisasi, berkat ilmu dan teknologi moden, adalah peradaban yang lahir dari keadaan hati yang sedang membeku.
Akibat kebekuan hati manusia akan lenyapnya kepekaan terhadap nilai baik dan buruk. Baik dan buruk telah dijadikan barang perniagaan tanpa moral.
Hati yang beku dan tertutup inilah yang dinyatakan dalam al-Quran surah al-A'raaf ayat 179 firman Allah yang bermaksud:-2-
"Dan sesungguhnya kami jadikan untuk neraka jahanam banyak jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya dan yang mempunyai telinga tetapi tidak mahu mendengar ajaran dan nasihat".
Hati mereka sudah buta dan sudah tidak berfungsi lagi sebagaimana mestinya.
Implikasi kedua akibat hati ialah hubungan persaudaraan hanya didasarkan semata-mata atas kekuatan benda dan kepentingan-kepentingan duniawi lain. Akibatnya suasana persaudaraan umat manusia di dunia terasa begitu kering dan tandus. Umat Islam berpecah belah dan berperang sesama sendiri dan ajaran persaudaraan sejati seperti yang ditekan oleh al-Quran sudah tidak dihirau lagi semata-mata kerana tarikan kepentingan benda dan bangsa yang lebih diutamakan.
Implikasi ketiga akibat kebekuan hati manusia kita dapat lihat dalam bentuk tindakannya yang rakus, baik terhadap benda mahupun terhadap kekuasaan. Benda dan kekuasaan sesungguhnya apabila jatuh ke tangan hati yang beku akan membawa malapetaka. Kerakusan itu sebenarnya adalah simbol dan struktur batin yang sakit dan tidak bermaya. Malangnya, hari ini banyak sekali manusia tidak mampu melihat bencana yang mungkin ditimbulkan oleh watak manusia yang rakus ini.
Ketumpulan wawasan moral dan kerakusan terhadap kebendaan dan kekuasaan sepanjang sejarah telah mencabik-cabik prinsip kesatuan umat manusia ini.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment