Tuesday, October 14, 2008

Najis Rasuah Menggugat Integriti Pengurusan

NAJIS RASUAH MENGGUGAT INTEGRITI PENGURUSAN

Islam menetapkan bahawa pekerjaan adalah sebahagian daripada ibadah jika selari dengan etika kerja Islam. Etika Kerja Islam itu ialah meletakkan niat bekerja kerana Allah SWT, ikhlas, melaksanakan dengan amanah dan tekun serta tidak mengabaikan ibadah khusus yang lain .

Oleh itu, Islam menggalakkan umatnya bekerja kuat dan mencari kekayaan . Dengan demikian umat Islam berpeluang membayar zakat dan bersedekah bagi tujuan memakmurkan agama Islam serta meringankan penderitaan manusia sejagat. Nabi Muhammad SAW bersabda yang mafhumnya: " Tangan Yang Memberi Lebih Baik Daripada Tangan Yang Menerima ". Dengan demikian kita gunakanlah sepenuhnya organisasi kita sebagai tempat yang mempunyai integriti, mampu memartabat kesucian agama, menjaga kesejahteraan negara dan masyarakat.

Dalam usaha mencari kekayaan itu Islam telah meletakkan garis panduan yang jelas supaya umat Islam tidak terjebak dengan amalan budaya berdosa . Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 188:

Bermaksud: " Dan janganlah kamu makan harta orang lain di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) harta manusia dengan (berbuat) dosa, pada hal kamu mengetahui (salahnya) " .

Ketika mengulas bahaya najis rasuah ini Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: " Rasulullah SAW telah melaknat pemberi rasuah, penerima rasuah dan orang yang menjadi orang perantaraan " .(Riwayat Ahmad)

Mereka yang terlibat dalam amalan najis rasuah ini dikutuk Allah SWT dan dihumban ke dalam api neraka . Satu lagi timbul persoalan, apakah mereka yang terlibat dengan najis rasuah ini akan diwarisi pula oleh baka atau keturunan mereka?.

Jabir bin Zaid meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: " Setiap daging yang tumbuh dari sumber yang diusahakan dengan jalan yang haram, maka nerakalah yang selayak baginya ".

Berdasarkan hadith ini, nyata terdapat perkaitan kuat bahawa mereka yang bergelumang dengan najis rasuah ini berkemungkinan besar akan diwarisi pula oleh anak pinak mereka .

Mereka yang menolak amalan najis rasuah adalah manusia hebat dan cemerlang kerana:

Pertama : Menjamin kesinambungan nasab atau keturunannya kekal dalam keadaan insan yang beriman dan berintegriti ;

Kedua : Meningkatkan martabat dan integriti organisasi serta warga pengurusan;

Ketiga : Meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap pemimpin yang berani memerangi najis rasuah; dan

Keempat : Membuktikan bahawa amalan ibadah-ibadah khusus seperti sembahyang, puasa, berzakat dan haji yang diamalkan telah berjaya mencegah dirinya terlibat dengan najis rasuah.


Maksudnya : " Dan sekiranya penduduk negeri itu beriman serta bertaqwa, tentulah kami bukakan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu kami timpakan mereka azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan " .

No comments: